Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) menafikan mereka menolak keputusan Pakatan Harapan memilih Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri.

Penolong Setiausaha Pemuda BERSATU Danial Syahiran Ho Imran Ho berkata kesemua Pemuda BERSATU, termasuk dari Pahang, menyokong pencalonan itu.

Beliau juga berkata Mohd Azlan Raja Omar, yang dilapor menolak keputusan itu, bukan Ketua Pemuda BERSATU Pahang, sebaliknya bekas penyelaras sayap pemuda parti itu di Pahang.

“Saya tak pasti kenapa dia guna jawatan itu kerana dia tak pernah pun dilantik jawatan itu, tapi nak timbulkan huru hara sebab kebelakangan ini banyak orang keluar untuk tentang pencalonan Tun Mahathir,” katanya.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan Raja Mohd Azlan sebagai 'ketua pemuda' BERSATU Pahang menolak keputusan HARAPAN yang memilih Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.

“Saya tidak pernah melupakan jasa Tun Dr Mahathir tetapi pada zaman ini, bukan masa yang sesuai bagi beliau untuk kembali menjadi Perdana Menteri kerana kita memerlukan seorang yang muda untuk konsisten dalam pentadbiran akan datang.

“Bukan Tun Dr Mahathir sekejap (menjadi Perdana Menteri), kemudian tukar Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bila parti kita hendak maju kalau sistem bertukar-tukar?

“Saya secara peribadi berasakan tidak sesuai (Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri)," Raja Mohd Azlan dilaporkan sebagai berkata.

Sementara itu, Danial berkata Raja Mohd Azlan mungkin memberikan pendapat peribadinya sahaja dan tidak menggambarkan keseluruhan pemuda Pahang.

“Jadi kenyataan yang dia keluarkan adalah pandangan peribadi tidak boleh mewakili parti.

“Dia cuma ahli biasa, bukan lagi penyelaras,” katanya.

Danial berkata, bagi menyelesaikan kekeliruan yang timbul, Ketua Pemuda BERSATU Pahang Muhammad Iqmal akan membuat sidang media petang ini bagi memberi gambaran sebenar.

Lihat Komen
ADS