Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keropok udang di R&R punya logo halal yang sah
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 6:25 AM
Dikemaskini: Jan 11, 2018 2:23 AM

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak mengesahkan keropok udang yang dijual di pasaran sekitar Perak mempunyai sijil dan penandaan logo halal yang sah.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK negeri Shamsul Nizam Khalil berkata hasil pemeriksaan terhadap 65 premis di sepanjang hentian Rehat dan Rawat (R&R) Ulu Bernam sehingga Alor Pongsu serta kawasan tumpuan orang ramai mendapati produk itu mendapat sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Perak.

"Hasil daripada pemeriksaan tersebut terdapat enam keluaran syarikat berbeza turut dipasarkan dalam pasaran ketika ini.

Pemeriksaan juga mendapati pembungkusan keropok udang juga hampir sama seperti yang dirampas pada 4 Jan lalu, di mana terdapat seekor gambar udang di hadapan pembungkusan.

"Hasil pemeriksaan mendapati produk berkenaan menggunakan logo halal yang mendapat pensijilan daripada Jakim atau Jabatan Agama Islam negeri, hasil pemeriksaan juga mendapati produk keropok udang yang diambil tindakan pada 4 Jan lalu tiada lagi dijual di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung pemeriksaan susulan terhadap penjualan keropok udang di Perak, di Pejabat KPDNKK Perak di Ipoh semalam.

Dalam pada itu, Shamsul Nizam turut memberi amaran kepada peniaga agar tidak meletakkan logo halal pada produk mereka sehingga mendapat perakuan daripada pihak berkuasa.

Syarikat yang meletakkan logo halal palsu boleh didenda tidak melebihi RM200,000 manakala bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS