Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar tertakluk kepada peraturan penjara - Nur Jazlan
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 10:43 AM
Dikemaskini: 2:58 AM

Sesiapa yang ingin melawat pemimpin pembangkang yang dipenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau penghuni lain mesti mendapatkan izin dari Jabatan Penjara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Itulah sebabnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dibenarkan berjumpa dengan Anwar di Hospital Pemulihan Cheras semalam, lapor The Malaysian Insight hari ini memetik Nur Jazlan sebagai berkata.

Nur Jazlan dilaporkan berkata banduan bukanlah seorang yang bebas dan kehidupannya (Anwar) dikawal oleh Jabatan Penjara.

"Tiada siapa yang dibenarkan berjumpa dengannya selain daripada keluarga," Nur Jazlan dilapor berkata.

Selain ahli keluarga, Nur Jazlan berkata, orang lain yang dibenarkan melawat penghuni penjara adalah peguam mereka dan mereka yang mempunyai sebab yang sah untuk melawat.

"Dr Mahathir tidak mempunyai alasan rasmi untuk melawatnya," kata Nur Jazlan yang juga mengesahkan bahawa perintah tidak membenarkan Mahathir melawat Anwar datang dari Jabatan Penjara.

Dr Mahathir berkata semalam beliau tidak dibenarkan bertemu Anwar di hospital itu selepas diberitahu bahawa terdapat "perintah dari atas" tidak membenarkannya.

Pada hari Ahad, Paktan Harapan menamakan Mahathir, 93, sebagai calonnya untuk jawatan perdana menteri jika gabungan parti itu menang pilihan raya umum akan datang.

Ini sepatutnya menjadi lawatan pertamanya untuk berjumpa Anwar, yang sedang pulih dari pembedahan di bahu kanannya.

Selain Dr Mahathir, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut hadir di hospital.

Sejak dimasukkan ke hospital November lalu, Anwar juga telah menerima lawatan dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS