Paling Popular
Terkini

ULASAN l Saya tidak dapat menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim di Hospital Rehabilitasi Cheras. Saya diberitahu Menteri Dalam Negeri telah mengarah pejabat penjara supaya tidak membenarkan saya menziarahinya.

Saya kecewa dan sedih. Apakah yang sudah jadi pada negara kita ini. Tidak pernah mana-mana perdana menteri Malaysia sebelum ini melarang sebarang lawatan untuk berjumpa pesakit atau banduan, samada ia ahli politik atau orang biasa.

Semasa menjadi Perdana Menteri, saya tidak pernah menghalang mana-mana banduan, termasuk Anwar, daripada diziarahi oleh sesiapa.

Tetapi sekarang sudah ada arahan ini khusus terhadap saya.


Baca berita berkaitan: Menteri dalam negeri tidak beri arahan - Zahid


Tujuan saya hanya untuk ucap terima kasih kerana Anwar kerana telah bersetuju dengan cadangan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menamakan saya sebagai calon perdana menteri.

Dalam gabungan empat buah parti ini, kita bersetuju semua keputusan dibuat secara konsensus iaitu dengan persetujuan semua empat parti. Jika ada satu parti tidak bersetuju, keputusan tidak akan diterima sebagai keputusan HARAPAN.

Apabila saya dicalonkan sebagai bakal perdana menteri HARAPAN, tiga buah parti bersetuju tetapi PKR tidak membuat keputusan.

Namun pada saat akhir PKR bersetuju. Saya percaya masa panjang yang diambil oleh PKR ialah kerana tidak senang dengan saya, yang menjadi perdana menteri sewaktu Anwar dipenjara.

Pendek cerita akhirnya PKR bersetuju. Saya percaya persetujuan ini kerana pengasas PKR iaitu Anwar dapat mengatasi perasaannya dan mengutamakan kepentingan negara lebih dari perasaan diri sendiri.

Jelas yang Anwar, seperti semua kami dalam HARAPAN, mengutamakan penyingkiran Datuk Seri Najib Razak daripada permusuhan antara kami dahulu.

Bukan mudah bagi Anwar terutamanya. Tetapi jelas Anwar utamakan negara lebih daripada dirinya.

Parti pembangkang tidak pernah mengalahkan gabungan 13 buah parti dalam BN. Sebabnya ialah kerana tiada bekerjasama yang sebenar-benarnya antara mereka.

Hanya jika ada pakatan yang kuat hasil keikhlasan dalam bekerjasama antara parti pembangkang, barulah mereka berkemungkinan mengalahkan BN.

Dengan PKR memenuhi syarat konsensus empat buah parti lawan, kemenangan HARAPAN menjadi lebih cerah.

Sebab itulah saya ingin ucap terima kasih sendiri kepada Anwar. Saya hanya perlu satu minit sahaja untuk berjumpa, tidak lebih. Tidak ada niat bercakap berkenaan politik.

Lagipun semua orang tahu pelantikan saya akan menentukan kekalahan HARAPAN. Bukankah Felo Kanan Institute of Strategic and International Studies Sholto Byrnes berkata pencalonan saya bermakna HARAPAN telah ambil satu langkah kebelakang.

Apalah nak takut sangat perjumpaan saya dengan Anwar. Tentulah ia akan jadi satu lagi langkah kebelakang oleh HARAPAN.


TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah bekas perdana menteri yang kini mempengerusikan gabungan pembangkang Pakatan Harapan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS