Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengasuh Ahnaf Hanafi tak daftar dengan JKM
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 4:01 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Pengasuh kepada kanak-kanak Ahnaf Hanafi Mohd Haniff, yang mati selepas dihantar ke rumahnya, disahkan tidak mendaftarkan kediamannya sebagai taska di rumah dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata rekod juga mendapati pengasuh itu juga tidak pernah mengikuti kursus asuhan kanak-kanak atau kursus asuhan Permata yang diwajibkan jabatan.

"JKM masih tidak dapat menemui pengasuh kerana kunjungan kami ke rumahnya mendapati rumah berkunci dan jirannya memberitahu pengasuh tiada sejak semalam," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Zulkhairi berkata demikian bagi mengulas kematian Ahnaf Hanafi, setahun sebulan, yang disahkan meninggal dunia kira-kira 2.30 petang semalam selepas dihantar ke rumah pengasuhnya di Indera Mahkota 15 di Kuantan.

Kanak-kanak itu dihantar ibu bapanya Mohd Haniff Selaman@Sulaiman, 28, dan Roshidah Abdullah, 30, dalam keadaan baik pada pukul 8.10 pagi sebelum dimaklumkan anak tunggal mereka tidak sedarkan diri.

Zulkhairi berkata siasatan mendapati pengasuh berkenaan turut menjaga empat kanak-kanak lain yang mana Akta Taska 1984 (Akta 308) mengkategorikan taska di rumah sebagai taska yang menerima kurang daripada 10 kanak-kanak.

Akta itu juga menyatakan mereka yang menjalankan taska tanpa berdaftar dengan JKM boleh didakwa di bawah Seksyen 62(2) yang memperuntukkan denda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Saya berharap ibu bapa dapat menghantar anak ke taska yang berdaftar dengan JKM bagi memastikan kualiti yang terjaga di samping menentukan keselamatan anak sentiasa dipantau.

"Permohonan mendaftarkan taska di rumah juga boleh dilakukan di mana-mana pejabat JKM daerah," katanya.

Zulkhairi berkata jabatan itu juga akan terus mengesan pengasuh yang menjalankan kegiatan asuhan kanak-kanak di rumah tanpa kebenaran dengan kerjasama Kawasan Rukun Tetangga (KRT).

Beliau juga berkata JKM akan menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga mangsa dan akan meneliti keputusan punca kematian Ahnaf Hanafi, jika ada unsur penderaan atau kecuaian, selepas ujian darah dipenuhi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS