Pelajar tercicir kembali ke sekolah hari ini
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan hari ini membantu seorang remaja, Nor Azlina Azuan, 16, yang tercicir persekolahan tahun lepas akibat kemiskinan, kembali meneruskan pengajian pada tahun ini.
Pengarahnya Muhammad Zahari Othman berkata pelajar itu mendaftarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 1 di Kota Bhary pada 12 tengah hari tadi.
“Nor Azlina yang berasal dari Kampung Baung di sini, hanya sempat belajar di Tingkatan Tiga di SMK Pengkalan Chepa 2 yang terletak agak jauh dari rumah keluarganya selama beberapa bulan pada tahun lepas dan tidak sempat menduduki ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) apabila berhenti sekolah kerana kesempitan hidup.
“Bagaimanapun kita bantu Nor Azlina untuk kembali ke sekolah dengan memindahkannya ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah serta menempatkannya di asrama bagi menyelesaikan masalah tempat tinggal, makan minum dan pengangkutan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Muhammad Zahari berkata justeru, kes itu dianggap selesai dan berharap agar Nor Azlina dapat menjalani sesi persekolahan dengan lebih baik selepas ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan sebuah keluarga yang terdiri daripada 22 anggota termasuk remaja terbabit terpaksa tinggal di sebuah rumah dua bilik tidur dengan keluasan 15 kali 25 meter persegi di kampung itu kerana kesempitan hidup.
Pemilik rumah itu, Zahrah Daud, 58, yang juga nenek kepada pelajar itu dilaporkan sebagai berkata hanya 13 anggota keluarganya tinggal secara tetap di rumah itu manakala sembilan lagi tinggal berasingan dan datang pada hujung minggu atau cuti persekolahan.
Zahrah dan suaminya Zulkifli Deraman, 61, mendiami rumah itu bersama tiga anak, dua menantu dan enam cucu manakala dua lagi anaknya yang sudah berkahwin tinggal berasingan.
Berita kesempitan hidup keluarga itu didedahkan selepas kunjungan Ketua Pergerakan Wanita UMNO bahagian Pengkalan Chepa Zarina Md Eusope untuk menghulurkan bantuan persekolahan kepada cucu Zahrah yang bakal memulakan persekolahan di Tahun Satu, baru-baru ini.
- Bernama

