Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ibu tunggal rompak, culik warga emas OKU dipenjara
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 6:14 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Seorang ibu tunggal yang menculik seorang warga emas orang kurang upaya (OKU), di tempat letak kereta di sebuah hospital sebelum merompak barang kemas serta mencederakannya, dihukum penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur hari ini

Hakim Shamsudin Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Aminah Sulaiman, 26, yang tidak bekerja, selepas wanita itu menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraannya hari ini.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bagi pertuduhan merompak dan penjara tiga tahun kerana menculik terhadap tertuduh serta memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap pada 11 Sept 2017.

Wanita itu didakwa merompak barang kemas iaitu sepasang subang, dua utas gelang tangan dan seutas rantai leher emas milik Zaiton Beevi Mohamad Anwar, 62, serta dengan sengaja menyebabkan cedera kepada mangsa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Ibu dua anak itu juga dituduh menculik mangsa sama mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan juga dikenakan denda.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di kawasan tempat letak kereta, tingkat 3, Klinik Pakar Harian Hospital Kuala Lumpur (HKL), Jalan Pahang, di sini pada 1.30 petang, 11 Sept 2017.

Terdahulu, Aminah yang diwakili peguam Latheefa Koya memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya menjaga dua anak yang masih kecil, bapanya yang juga seorang OKU serta ibunya seorang suri rumah.

“Dia melakukan kesalahan ini disebabkan terdesak dan mengalami masalah kewangan,” kata peguam itu.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan alasan mangsa merupakan seorang OKU yang berkerusi roda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah dibawa ke hospital oleh suaminya untuk mendapatkan rawatan dan sebaik selesai menerima rawatan, mangsa ditinggalkan di tempat menunggu di hadapan hospital sementara suaminya mengambil ubat mangsa di unit farmasi.

Tertuduh kemudiannya datang ke arah mangsa yang ditinggalkan berseorangan lalu menolak kerusi roda mangsa ke tingkat tiga parkir hospital sebelum memasukkan mangsa ke dalam sebuah kereta Proton Wira dan meninggalkan perkarangan hospital.

Semasa di dalam kereta, tertuduh telah mengambil barang kemas milik mangsa serta mencederakannya.

Mangsa kemudiannya ditinggalkan di perhentian bas di Jalan Seputeh, Brickfields sebelum ditemui pihak polis pada hari sama.

Tukang masak bergaduh didenda

Sementara itu, dua tukang masak warga Thailand dan Indonesia masing-masing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini kerana bergaduh sesama mereka di dalam sebuah restoran menggunakan besi lentur dan getah paip.

Majistet Maizatul Munirah Abd Rahman menjatuhi hukuman itu ke atas Thavorn Rangkavong, 39, dan Abri Supardi, 32, selepas kedua-duanya mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di dalam restoran Kak Mah Tom Yam, Jalan Raja Abdullah kira-kira jam 1.30 tengah hari, pada 29 Dis lalu.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara satu bulan jika gagal bayar denda. Mereka membayar denda itu.

Thavorn, warga Thailand manakala Abri warga Indonesia didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, kedua-dua lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum, manakala Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim memohon hukuman berbentuk pengajaran mengambil kira faktor kepentingan awam kerana insiden itu berlaku di tempat awam iaitu di restoran.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS