Paling Popular
Terkini

Wartawan di Pulau Pinang dikejutkan apabila mendapat maklumat Ketua Menteri Lim Guan Eng akan ditahan oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung projek terowong bawah laut di negeri itu.

Menjelang jam 3 petang, ramai wartawan berkumpul di tingkat tiga Menara Komtar yang menempatkan pejabat pentadbiran kerajaan negeri.

Bagaimanapun, tiada apa yang berlaku dan maklumat berkenaan ternyata palsu.

Pada pukul 6 petang, Lim dilihat meninggalkan Komtar dan kumpulan wartawan yang menunggu beliau mengikutinya ketika ketua menteri itu berjalan menuju Jalan Penang.

Tujuan Lim adalah ke Kafe Toh yang terkenal di Pulau Pinang, yang menjadi tempat lepak kegemarannya selepas waktu bekerja.

Dengan wajah ceria, Lim kemudian mengarahkan minuman dan roti bakar disajikan kepada wartawan yang mengikutinya.

Turut menyertai Lim adalah beberapa pemimpin DAP, ahli majlis tempatan dan kakitangan beliau.

Ditanya sama ada beliau menunggu pegawai SPRM di pejabatnya sebelum itu, Lim menjawab, "Siapa kata begitu?"

"Tetapi terima kasih kerana mengiringi saya berjalan kaki ke sini untuk minum kopi bersama saya," kata Lim.

"Apa saja yang akan berlaku esok, marilah kita ingati semangat Pulau Pinang, kita akan menghadapi segalanya dengan kesungguhan dan keazaman untuk melakukan yang terbaik, bukan hanya untuk kita tetapi untuk semua orang," katanya.

Pada Selasa, 12 premis, termasuk sembilan pejabat kerajaan dan tiga firma swasta yang terlibat dalam projek mega terowong bawah laut Pulau Pinang diserbu oleh pegawai SPRM dari Putrajaya.

Dua pegawai eksekutif bergelar Datuk ditangkap dan ditahan selama enam hari untuk membantu siasatan.

Difahamkan SPRM sedang meneliti dakwaan sogokan melibatkan pegawai kerajaan negeri berkaitan terowong yang bernilai RM6.3 bilion.

Lim berkata tidak ada wang yang dibayar untuk pembinaan terowong tersebut kerana ia sepatutnya bermula pada tahun 2023 dan dijangka siap pada tahun 2027.

Beliau menambah bahawa projek itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd melalui tender terbuka dan keputusan untuk melantik firma itu dibuat oleh jawatankuasa tender negeri yang diketuai oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Farizan Darus.

Lihat Komen
ADS