'Percepatkan proses pemberian kerakyatan kanak-kanak'
Kerajaan terus didesak mempercepatkan dan mempermudahkan proses pemberian kewarganegaraan kepada kanak-kanak yang tidak memiliki taraf kerakyatan.
Aktivis masyarakat, Datuk Hamidah Osman berkata perkara tersebut penting bagi memelihara hak asasi kanak-kanak terbabit sekali gus membolehkan mereka bersekolah.
Katanya, ia juga berdasarkan komitmen kerajaan Malaysia yang telah menandatangi Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-44 pada November 1989.
“Kerakyatan anak angkat ini perlu diberi keutamaan kerana mereka ini telah disahkan tarafnya oleh kebajikan masyarakat dengan diluluskan oleh menteri dan Mahkamah.
"Tetapi kenapa mereka dinafikan hak kerakyatan mereka dan kadang-kadang sampai dah nak masuk universiti pun masih belum dapat kerakyatan,” kata Hamidah dalam sidang media di Gombak, Selangor hari ini.
Hamidah berkata demikian mengulas insiden seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun di Seremban yang dihalang menghadiri sesi persekolahan kerana dilapor tidak memiliki pasport.
Kementerian Pendidikan bagaimanapun dilaporkan sudah memberi pas khas kepada kanak-kanak yang dikenali sebagai G Darshana itu untuk menghadiri sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan Taman Rasah Jaya di Seremban.
Sementara itu Jabatan Imigresen menafikan pernah mengeluarkan sebarang pekeliling yang menghalang kanak-kanak tanpa kewarganegaraan untuk bersekolah.
Mengulas lanjut Hamidah berkata isu kerakyatan kanak-kanak terbabit adalah penting kerana bukan sahaja membabitkan soal pendidikan tetapi juga hak mereka untuk mendapatkan rawatan.
Hamidah turut mempersoalkan tempoh yang panjang bagi kerajaan memberikan kerakyatan kepada kanak-kanak terbabit.
“Sepatutnya mereka ini perlu mendapat kerakyatan sebelum umur tujuh tahun,” tegas Hamidah.
Selain itu, Hamidah berkata pihaknya juga sedang bekerjasama dengan SUARAM bagi mendesak kerajaan mempercepatkan proses memberi kerakyatan kepada kanak-kanak terbabit.
“Kita sedang mengumpulkan maklumat yang lebih banyak mengenai permasalahan ini dan akan dibawa ke SUARAM setelah segala maklumat lengkap diperolehi,” kata Hamidah.
Hamidah menyeru ibu bapa yang menghadapi masalah sama menghubungi talian hotline 019-5050 019 atau melalui e-mail di datohamidahprihatin@gmail.com.

