Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M atau Najib jadi PM, seperti memilih Coke atau Pepsi

Tawaran Pakatan Harapan yang mencalonkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak disamakan seperti meminta orang ramai memilih antara Coca-Cola dan Pepsi.

"Dua-duanya (beri anda) kencing manis, (dan anda perlu) potong kaki," kata aktivis Badrul Hisham Shaharin berseloroh kepada hadirin di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi.

Badrul adalah antara enam ahli panel yang berkongsi pandangan mereka sama ada Mahathir kembali berkuasa adalah penyelesaian ke arah Malaysia yang lebih baik.

Panel itu, termasuk Ketua Biro Strategi dan Dasar BERSATU Datuk Rais Husin, aktivis Hishamuddin Rais dan bekas ketua pengarang Malaysiakini, Fathi Aris Omar.

Mahathir, yang pernah mengetuai kerajaan selama 22 tahun, dipilih oleh HARAPAN sebagai calon perdana menteri di kongres gabungan itu Ahad lalu.

Rais cuba memberi sentuhan positif terhadap hujah Coca-Cola dan Pepsi, dengan mengatakan bahawa sudah tiba masanya orang ramai memberi peluang kepada bekas perdana menteri.

"Kita kena tahu kita tak pernah rasa lagi pepsi kecuali di beberapa negeri... mungkin pepsi lagi manis, dan sebenarnya memang lagi manis," kata ahli majlis tertinggi BERSATU itu.

Undi Melayu

Sementara itu, Hishammuddin berhujah bahawa Mahathir adalah ikon yang HARAPAN perlukan untuk mendapatkan undi Melayu luar bandar untuk menurunkan Umno daripada kuasa.

Undi Melayu luar bandar kekal sebagai penghalang kepada laluan pembangkang ke Putrajaya, kerana mereka kekal setia kepada kerajaan BN yang memerintah.

Perhimpunan agung BERSATU Disember lalu menyaksikan Mahathir memohon maaf atas kesilapannya yang lalu, tetapi veteran tersebut berkata beberapa jam kemudian bahawa permohonan maaf hanya amalan biasa.

Walaupun terdapat bantahan terhadap Mahathir dicalonkan sebagai perdana menteri, penulis Nathaniel Tan percaya tidak ada alternatif lain yang lebih baik dalam HARAPAN.

"Pada pandangan saya, bagi kebanyakan calon lain dalam HARAPAN, jika Mahathir adalah Pepsi cola, kebanyakan yang lainnya juga seperti Pepsi cola," kata Tan.

Mahathir telah dituduh melemahkan institusi demokrasi Malaysia, dan mewujudkan persekitaran yang membawa kepada masalah-masalah yang dihadapi hari ini, iaitu rasuah dalam kerajaan.

Fathi pula berkata pengerusi BERSATU itu menunjukkan kurangnya penyesalan atas kesalahannya, dan dengan itu mempersoalkan bagaimana Mahathir boleh menjadi perdana menteri untuk membawa pembaharuan.

"Bagaimana anda boleh membuat pembaharuan jika anda tidak mengakui kesilapan anda?" katanya.

Aktivis Haris Ibrahim tidak melihat masalah dengan HARAPAN menggunakan Mahathir untuk memenangi orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau berkata, bekas perdana menteri dengan semua dakwaan kesalahan yang dikatakan di masa lalu, tidak seharusnya dibenarkan kembali berkuasa.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS