Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'HARAPAN perangkap diri dalam permainan BN'
Diterbitkan:  Jan 12, 2018 4:30 PM
Dikemaskini: 8:41 AM

Tindakan menamakan calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) dibuat secara tergesa-gesa dan hanya memerangkap diri sendiri dalam permainan politik BN, kata anggota majlis pimpinan pusat PKR, Latheefa Koya.

Latheefa berkata inilah mesej yang disampaikan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menggesa HARAPAN berbincang dengan NGO dan aktivis bagi mendengar suara rakyat.

"Malangnya terdapat pihak pimpinan baru sekarang nak turun nak beri penjelasan. Terbalik! Perkara ini sepatutnya dilakukan sebelum bukan selepas! Proses demokrasi songsang," katanya dalam catatan di Facebook.

Latheefa, yang juga peguam Anwar, mengulas kritikan mereka yang menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pengumuman calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri.

Pada catatan yang sama, pemimpin PKR itu mengakui bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tokoh penting dalam perjuangan menentang BN.

"Bagi saya Tun M adalah satu figura yang amat penting dan antara pimpinan yang paling rajin, tidak erti penat berjuang melawan BN.

"Tidak dinafikan peranan beliau amat penting untuk memperkukuhkan HARAPAN. Tanpa beliau, sememangya HARAPAN tidak cukup suara yang lantang. Namun apa masalahnya?

"Bagi saya, pengumuman calon PM/DPM secara tergesa-gesa adalah satu tindakan memerangkap diri sendiri dalam game BN, "katanya.

HARAPAN mengumumkan Mahathir sebagai calon perdana menteri manakala Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya semasa konvensyen yang diadakan Ahad lalu.

Sementara itu, Latheefa berkata Anwar adalah calon paling layak untuk jawatan perdana menteri, malah dakwanya BN juga menyedari hakikat itu.

"Calon PM kita yang paling layak dan sesuai selama ini adalah Anwar.

"BN tahu dan sedar itu. Jadi apa yang dilakukannya. Dia tangkap, dan menyabitkan Anwar, dan memenjarakan beliau.

"Kemudian BN tanya kita balik – eh siapa calon PM kamu? Siapa calon PM kamu? Apa jawapan kita.. ah ah ah tak tau. Jap alamak siapa eh? Cepat, kita kena umumkan sebab BN dah tanya ni.

"BN yang mensabitkan Anwar sebagai tidak layak bertanding. Tetapi kita yang macam bodoh ulang-ulang Anwar tidak layak, jadi kita kena cari orang lain. Mudahnya nak patahkan perjuangan kita ini," katanya kesal.

Menurut Latheefa rakyat tahu sekiranya HARAPAN memenangi PRU, gabungan itu mampu memperbetulkan "segala kesalahan dan kezaliman yang dilakukan terhadap Anwar".

"Tidak perlulah kita memberi butiran secara detail strategi kepada musuh apakah perancangan, siap beri langkah demi langkah. Tidak bijak langsung!"katanya.

Lihat Komen
ADS