Integriti terhakis punca jenayah, salah laku menjadi-jadi
KHUTBAH | Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini menyatakan, terhakisnya nilai integriti menjadi punca berlaku jenayah kolar putih, gejala sosial, rasuah, diskriminasi, penindasan dan penyalahgunaan kuasa.
Mimbar juga berkata, kelemahan integriti berpunca daripada sikap mudah lupa diri itu juga akan menyumbang kepada keruntuhan nilai moral serta kecemerlangan.
"Sedarlah, suatu ketika dulu kita pernah menjadi satu bangsa yang kuat, berkuasa dan terkenal.
"Namun, selagi masalah integriti tidak ditangani, selagi itu kita tidak akan maju dan cukup berpuas hati dengan kejayaan yang kecil.
"Manusia yang berintegriti akan memikul tanggungjawab dengan penuh amanah untuk menentukan survival ummah, organisasi dan negara terpelihara,” kata khutbah Jumaat yang bertajuk “Integriti nadi urus tadbir berkualiti itu.
Sehubungan itu, mimbar berkata, ekoran kes pengabaian nilai integriti banyak dilaporkan kebelakangan ini, usaha untuk memupuk budaya tadbir urus yang baik perlu diperhebatkan bagi melahirkan warga kerja yang amanah, produktif dan berpekerti mulia.
“Marilah kita sama-sama berazam untuk melaksanakan tugasan yang diberikan dengan penuh amanah, berintegriti dan bertanggungjawab.
“Ikhlaskanlah hati dan diri kita agar segala pekerjaan kita menjadi ibadah dan mendapat keredaan Allah,” kata mimbar lagi.

