Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'PKR tak akan pergi jauh selagi dikuasai keluarga Anwar'
Diterbitkan:  Jan 12, 2018 6:22 PM
Dikemaskini: 10:45 AM

PKR masih dikuasai keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan kepentingan politik, kata pegawai khas pejabat Perdana Menteri Datuk Rizal Mansor.

"PKR tidak akan pergi jauh selagi keluarga ini terus mendominasi halatuju politik PKR.

"Walaupun PKR mempunyai beberapa pemimpin lain yang lebih berkaliber namun kepentingan keluarga Anwar dijadikan keutamaan politik mereka terlebih dahulu berbanding dengan hal lain.

"Sia-sia sahaja perjuangan reformasi selagi keluarga itu terus mendominasi PKR," katanya dalam satu kenyataan.

Rizal dipercayai merujuk keputusan Pakatan Harapan (HARAPAN) minggu lalu menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, meskipun pemimpin itu pernah dilabel sebagai diktator oleh keluarga Anwar suatu masa dahulu.

Menurutnya, ribut politik yang melanda negara sejak tahun tahun 1998 hingga kini berpunca daripada pertembungan Mahathir dan Anwar.

"Semuanya bermula apabila Anwar giat menjalankan gerakan merampas jawatan nombor satu dan Mahathir berusaha mempertahankan jawatan yang disandangnya.

"Namun hari ini apa yang telah terjadi? Keluarga Anwar telah menjadi pendukung kuat Dr M untuk kembali menjadi perdana menteri. Tiada lagi istilah mahazalim dan mahafiraun yang mereka lemparkan dahulu,” katanya yang juga pegawai khas kepada Datin Seri Rosmah Mansor.

Rizal turut mempersoalkan tindakan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menjadi ‘tour guide’ kepada Mahathir ketika pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mahu menziarahi Anwar di hospital.

Sedangkan, kata Rizal, anak sulung kepada Anwar itu pernah ke Filipina meminta pertolongan Presiden Estrada kerana mendakwa bapanya dizalimi 'seorang diktator'.

“Hari ini (Nurul Izzah) menjadi ‘tour guide’ membawa diktator berkenaan untuk bertemu bapanya. Itulah politik keluarga Anwar Ibrahim, mereka sanggup buat apa sahaja asalkan mendapat keuntungan politik untuk mereka.

"Sanggup menipu, memfitnah dan menelan balik kahak yang diludah, asalkan politik mereka terus hidup. Tidak bermaruah!" katanya.

​Rabu lalu, Mahathir berhasrat untuk melawat Anwar yang dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur sambil diiringi Nurul Izzah.

Bagaimanapun Mahathir tidak dibenarkan bertemu Anwar kerana tidak mendapat keizinan dari Jabatan Penjara.

Lihat Komen
ADS