Duta pilihan Trump kena 'sergah' di Belanda
GLOBAL | Dia mungkin boleh bercakap besar atau sesuka hati di negaranya namun apabila di atas tanah orang, duta AS itu terpaksa mengalah walaupun kepada wartawan.
Baru hari pertama memulakan tugas rasminya di Belanda semalam, Pete Hoekstra terpaksa 'menjilat air ludah sendiri' apabila ditanya mengenai komen rambang yang pernah dibuatnya sebelum ini.
Pada sidang media di Amsterdam, seorang wartawan bertanya kepada Hoekstra: "Bolehkan anda sebut sebarang contoh seorang ahli politik yang dibakar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini?"
Hoekstra terdiam - entah kerana memang tidak dapat menjawab, atau cuba mencari helah untuk mengelakkan pertanyaan itu.
Namun seorang wartawan lain menyampuk: "Ini Belanda. Kamu mesti menjawab semua soalan yang ditanya."
Sebenarnya soalan berkaitan ahli politik yang "dibakar" itu merujuk kepada komen dibuat Hoekstra pada 2015.
Hoekstra ketika itu memberikan pandangannya berhubung "pergerakan Islam" yang didakwanya mencetuskan "kekacauan" di Eropah.

Kata Hoekstra ada beberapa tempat di Belanda tidak selamat dikunjungi dan kumpulan pelampau membakar kereta dan ahli politik setempat.
Terdesak dengan kenyataan ditujukan kepadanya Hoekstra akhirnya mengalah dan menyatakan rasa kesal atas kenyataan yang dibuatnya kira-kira dua tahun lalu itu.
Bina hubungan baik
Kenyataan dibuat Hoekstra ialah: Kekacauan di Belanda. Ada banyak kereta dibakar. Juga ada ahli politik yang dibakar. ADa kawasan sangat berbahaya di Belanda.
Bekas senator Republikan dari Michigan, AS - tetapi lahir di Belanda - itu berharap pihak yang tersinggung dengan kenyataannya supaya memulakan lembaran baru.
Dia juga menyatakan rasa kesal kerana membuat kenyataan berkenaan.
"Sekarang apa yang saya kata bukan lagi pandangan peribadi. Ia adalah pendirian dan dasar kerajaan AS seperti yang diarahkan Washington," katanya.
Pada Disember 2015 Hoekstra menafikan dia ada memberi kenyataan yang kontroversi itu dan menyalahkan pihak media kerana menyiarkan "berita palsu".
Menuding jari kepada pihak media adalah amalan yang turut digemari Presiden AS Donald Trump, serta ramai ahli politik di seluruh dunia.
Namun Hoekstra tidak dapat mengelak lama kerana rakaman video dan audio kenyataan itu kemudian menjadi tular di internet.
Sementara itu Hoekstra berkata dia akan berusaha membina hubungan lebih baik antara Amsterdam dan Rumah Putih.
Trump mencadangkan nama Hoekstra untuk menjadi duta AS ke Belanda pada Julai tahun lalu dan disahkan oleh Senat kira-kira empat bulan kemudian.

