Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Label "Bagan Datuk Ori' promosi produk daerah itu
Diterbitkan:  Jan 13, 2018 2:38 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

Semua produk yang dihasilkan dan dikeluarkan di Bagan Datuk akan mempunyai label 'Bagan Datuk Ori' dalam usaha mempopularkan daerah itu kepada orang ramai, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata usaha itu juga sebagai satu daripada langkah untuk mempromosikan produk keluaran Bagan Datuk ke peringkat antarabangsa.

Katanya sebuah ruang niaga khas, khusus untuk memasarkan produk yang berkaitan akan diwujudkan di Dataran Bagan Datuk bagi menggalakkan lagi usaha tersebut.

"Semua produk ini saya telah luluskan penjenamaannya dan perlu letak label 'Bagan Datuk Ori’ bagi membantu memasarkan produk Bagan Datuk supaya lebih dikenali," katanya dalam ucapan semasa lawatan kerja ke kilang QL Foods Sdn Bhd di Hutan Melintang di Bagan Datuk hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk menyambut baik hasrat syarikat berasaskan makanan laut itu untuk membesarkan lagi operasi kilangnya sehingga 20.2 hektar.

Katanya syarikat tersebut yang mengeluarkan makanan sejuk beku hasil laut itu kini mempunyai 1,200 pekerja dengan 60 peratus daripadanya pekerja tempatan.

"Sudah pasti jumlah pekerja akan bertambah dan akan memberi peluang kepada anak-anak Bagan Datuk untuk pulang bekerja di sini.

"Kita menggalakkan automasi tetapi masih banyak lagi tenaga kerja yang diperlukan. Saya berharap kilang ini mengurangkan lagi pekerja asing dan mengutamakan pekerja tempatan pada masa depan," katanya.

Ahmad Zahid turut berbangga dengan syarikat QL Foods kerana ia merupakan subsidiari QL Resources Bhd, sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

"QL mempunyai urus niaga bernilai RM3.5 bilion. Saya juga difahamkan bahawa produk keluaran kilang ini bukan hanya untuk pasaran tempatan malah ia dieksport ke luar negara dengan nilai RM400 juta," katanya.

- Bernama

 

Lihat Komen
ADS