Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM kunjungi beberapa lagi lokasi siasatan terowong dasar laut

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah berkunjung ke beberapa lagi lokasi di Pulau Pinang dan ibu negara untuk mengambil dokumen bagi membantu siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan berhubung projek terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi), Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi berkata, pihaknya juga telah merakam percakapan 11 lagi saksi bagi membantu siasatan terhadap projek mega berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan menyiasat kes berkenaan meliputi semua aspek dan secara adil.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada pasukan siasatan telah menemukan bukti-bukti baharu dalam proses siasatan.

“Biarlah kami jalankan siasatan secara terperinci dan mengenal pasti sama ada wujud elemen rasuah dan salah guna kuasa seperti yang didakwa,” katanya.

Sementara itu, menurut sumber SPRM, siasatan berhubung pelaksanaan kajian pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang kini menjurus kepada proses pembidaan yang dijalankan untuk melantik syarikat bagi tujuan menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS