Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
YB tak tercalon untuk PRU14 kena bantu jentera BN

Mana-mana wakil rakyat yang tidak terpilih sebagai calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dinasihatkan supaya tidak berkecil hati, sebaliknya terus membantu memastikan kemenangan BN, kata Pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.

Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata mereka yang sebelum ini pernah bertanding bagi kerusi parlimen dan dewan undangan negeri (DUN) perlu bekerjasama dan membantu jentera parti supaya BN menang dengan penuh bergaya.

Jika tidak dipilih semula sebagai calon, mereka hendaklah tetap meneruskan perjuangan membela kepentingan rakyat, malah berjuang habis-habisan bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mencapai kemenangan pada PRU14 nanti, katanya kepada ditemui pemberita selepas merasmikan Bilik Gerakan BN Perlis di Kangar malam tadi.

“Senarai calon sudah pun saya hantar kepada presiden parti dan biarlah dia menentukan siapakah yang layak untuk bertanding di kerusi-kerusi parlimen dan DUN.

"Saya juga ada berikan sekali muka-muka baru untuk diketengahkan, selain orang lama,” katanya.

Shahidan juga mengingatkan mana-mana calon yang dipilih supaya tidak mengetepikan rakyat yang telah memilih dan mengundi mereka sebagai wakil rakyat.

Malah katanya mereka juga perlu bekerja keras dan menunaikan janji yang telah dibuat kerana BN adalah sebuah parti yang sentiasa menepati janji.

Dalam pada itu, Shahidan berkata BN yakin akan memenangi semula kerusi DUN Sanglang dan Indera Kayangan dan mempertahankan 13 kerusi DUN dan tiga kerusi parlimen di Perlis.

- Bernama

Lihat Komen
ADS