Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan sasar 80,000 unit Rumawip pertengahan 2018

Kementerian Wilayah Persekutuan yakin mampu membina 80,000 unit Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) menjelang pertengahan tahun ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ia lebih awal daripada sasaran yang ditetapkan pihaknya iaitu pada tahun 2020.

“Sehingga Disember lepas, kita berjaya mencapai 71,554 unit atau 89.44 peratus daripada sasaran keseluruhan.

“Bagi tahun ini ada banyak lagi projek-projek Rumawip di lokasi strategik berhampiran pusat bandar akan ditawarkan dan sedang diteliti,” katanya pada Majlis Pelancaran dan Sesi Pengundian Unit Rumawip Residensi Vista Wirajaya dan Vista Wirajaya 2 di Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Adnan berkata pengiraan sasaran terbabit adalah dengan mengambil kira projek di bawah kategori 'Siap', 'Dalam Pembinaan' serta 'Kelulusan Perintah Pembangunan atau 'Development Order'.

Rumawip Residensi Vista Wirajaya dan Vista Wirajaya 2 menawarkan dua blok kediaman, masing-masing 30 dan 35 tingkat dengan jumlah unit sebanyak 953 unit dan akan memulakan fasa pembinaan pada awal tahun ini serta dijangka siap pada 2022.

Kediaman Rumawip yang berkeluasan 82.1 dan 78.9 meter persegi ditawarkan pada harga RM300,000 seunit dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air dan satu petak tempat letak kereta. -Bernama

Lihat Komen
ADS