Maria Chin: Jamal buruk-burukkan saya
Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini bahawa tuduhan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos bahawa BERSIH 5 diresapi pengaruhi militan IS atau Daesh adalah cubaan memburuk-burukkannya.
Katanya, tindakan itu memberi gambaran bahawa, seolah-olahnya dirinya adalah pengganas dan terlibat dalam jenayah berat.
Dalam keterangan saman fitnahnya terhadap Jamal, Maria berkata BERSIH 5 adalah perhimpunan yang dianjurkan oleh BERSIH, di mana beliau adalah pengerusi.
"Saya wajah BERSIH 5.
"Bagaimanapun, Jamal pada 28 Sept dan 4 Okt 2016, mendakwa bahawa BERSIH bukan sahaja akan berkumpul di KL tetapi juga di tempat-tempat strategik seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau Pejabat Perdana Menteri, dan diresapi oleh IS.
"Kenyataan itu memberi imej buruk kepada saya, seolah-olah saya mempunyai hubungan dengan IS atau Daesh, dan menggambarkan saya mempunyai hubungan dengan pengganas, terlibat dengan jenayah berat dan tidak menghormati undang-undang.
“Ini memberikan kesan buruk oleh masyarakat terhadap saya," katanya.
Maria berkata kenyataan oleh Jamal itu dilaporkan oleh Sunday Mail, The Star Online, theSun Daily, Malaysiakini, KiniTV, The Malay Mail Online dan Free Malaysia Today.
Beliau menjawab soalan daripada peguamnya, N Surendran berhubung saman fitnahnya terhadap kenyataan Jamal, yang menyebabkan beliau ditahan oleh polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah Khas) 2012 beberapa hari sebelum perhimpunan BERSIH 5.
Selain Surendran, peguam lain yang mewakili Maria adalah Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin.

