Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN | Muhammad Taqi Mishbah Yazdi ialah seorang ulama Iran yang pakar dalam bidang falsafah dan pemikiran.

Dalam salah satu kuliahnya, beliau memetik surah ali-Imran ayat ketujuh yang mengatakan: "Dan orang-orang yang memiliki kedalaman dalam ilmu mengatakan, kami beriman kepada semua dari sisi Tuhan kami."

Dalam teks asal, ada kalimah "rasikhun fil ilmi" (orang yang memiliki kedalaman ilmu) di situ.

Menurut Muhammad Taqi rasikhun fil ilmi ialah orang yang memahami batasan setiap ilmu, termasuk ilmu manusia.

Lebih padat dan tepat "rusukh" itu menurutnya adalah, "saya tahu betul-betul batas-batas pengetahuan saya."

Menyedari betapa terbatasnya pengetahuan saya dan betapa saya sebenarnya agak tertinggal daripada mengikuti secara tuntas perkembangan politik negara, saya mengelak untuk terlalu banyak mengulas, walaupun ada juga galakan nakal daripada kawan-kawan mengenainya.

Cuba menjadi objektif

Saya mengelak untuk 'membelasah' timbalan menteri besar Kelantan dalam persoalan pembangunan Kelantan yang perlahan.

Ada beberapa butir 'peluru kata-kata' yang hampir saya lepaskan, namun saya simpan dalam hati.

Saya juga mengelak untuk memasuki perdebatan siapa paling layak menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN).

Cukuplah saya berasa aman dengan pilihan yang disepakati setakat ini, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketepikan hakikat bahawa ada percubaan untuk memporak-perandakan keamanan yang saya rasa itu. Itu tidak penting.

Persoalan memilih pemimpin sangat subjektif sifat dan penilaiannya walau sejauh mana pun kita cuba menjadi objektif.

Berdebatlah sehingga matahari muncul di sebelah barat. Malah, harapan untuk melihat musim sejuk mendatangi Malaysia nampaknya lebih cerah daripada melihat pakatan pembangkang boleh sebulat suara dalam memilih calon perdana menteri mereka.

Begitu juga dalam persoalan agihan kerusi parlimen untuk ditandingi oleh parti-parti yang bergabung dalam HARAPAN.

Genggam peluru kejap-kejap

Untuk mengabsahkan parti mana perlu dapat paling banyak atau sedikit kerusi, siapa yang perlu memimpin, siapa yang paling mendapat sokongan rakyat, siapa yang punya kekuatan jentera yang paling kuat - berdebatlah di peringkat dalaman sebelum pengumuman dibuat.

Selepas keputusan sudah diumumkan, ia sudah menjadi sesuatu yang akademik dan tak akan pernah selesai.

Oleh sebab itulah, saya sekali lagi hanya menggenggam 'peluru' kuat-kuat di tangan, ketika Nik Abduh Nik Abdul Aziz seolah-olah dengan rela hati sudi menjadi sasaran.

Biarlah mereka dengan maling dan malang mereka sendiri.

Perdebatan soal calon perdana menteri dan agihan kerusi ini mengingatkan saya kepada satu anekdot Maulana Rumi.

Begini ceritanya. Seekor unta, seekor lembu dan seekor biri-biri yang sedang berjalan beriringan terserempak dengan selonggok rumput.

Biri-biri segera berkata, "Kalau rumput ini dibahagikan antara kita bertiga, nescaya tak seekor pun akan kenyang. Apa kata kalau yang paling tua di antara kita sahaja yang memakan rumput ini?"

Tak perlu bukti apa-apa

Unta dan lembu pun bersetuju. Masing-masing mula mengira umur masing-masing.

"Baiklah, mari ceritakan bila kehidupan masing-masing bermula dan kita lihat siapa yang paling tua. Apabila ini sudah jelas, tidak perlulah kita riuh lagi."

Sang biri-biri memulakan. "Aku telah hidup sejak Ismail digantikan dengan biri-biri yang dikorbankan".

Sang lembu membantah. "Aku lebih tua daripada kamu. Aku salah seekor dari dua ekor lembu yang membajak tanah untuk Nabi Adam, moyang segala manusia."

Sang unta yang dari tadi mendengar hujah dari biri-biri dan lembu pun segera merendahkan kepala dan memakan longgokan rumput di tanah itu tanpa berkata sepatah pun.

Melihat lembu dan biri-biri yang tercengang melihatnya itu, unta pun menjelaskan.

"Aku tak perlu berikan apa-apa tarikh atau cerita. Aku punya badan yang kuat dan leher yang panjang, aku tidak perlukan bukti yang lain!"

Moral pertama ialah, berapa banyak pun kerusi yang sesebuah parti dalam HARAPAN perolehi, tidak akan ada parti yang akan mengatakan mereka kenyang.

Akan ada saja parti yang tak puas hati. Itu memang sifat parti politik sejak azali dan tak mungkin berubah. Malah sifat sebegini sama lebih tua dari sang lembu yang mengaku hidup di zaman Nabi Adam. Ia sifat azali manusia yang turun ke bumi bersama Adam dan Hawa.

Kedua, semua orang boleh berhujah dan bercakap sebanyak yang mereka mahu. Tapi akhirnya orang yang bekerja dengan sepenuh hati dan memanfaatkan peluang yang ada sahajalah yang akan kenyang.

Unta yang sedar akan kelebihannnya adalah pada tubuhnya yang kuat dan lehernya yang panjang tidak membuang masa berhujah perkara sia-sia.

Saya harap pada masa ini semua parti-parti dalam HARAPAN sudah sedar kelemahan dan kekuatan masing-masing, dan berusaha kuat untuk memenangi kerusi-kerusi yang akan mereka tandingi.

Mereka perlu belajar dari unta dalam anekdot Rumi tadi. Oleh sebab itulah saya gembira apabila Mohamad Sabu, Presiden Parti Amanah Negara berkata mereka akan menang semua 27 kerusi yang mereka tandingi.

Semangat beginilah yang saya mahu dan semoga Mohamad tergolong dalam golongan rasikhun fil ilmi, iaitu tahu benar batas-batas pengetahuannya.


NAJMUDDIN YUSOFF seorang pengurus projek telekomunikasi yang gemar memerhati keletah politik negara, serta penggiat sastera.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS