Datuk Seri Najib Razak bertegas siasatan terhadap transaksi tanah milik Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, akan tetap diteruskan walau ia dikembalikan tanpa kos.

Menurut perdana menteri siasatan polis dan audit forensik tetap berjalan seperti biasa.

Perkara itu dinyatakan Najib melalui Twitter beliau pagi ini beliau menciap: "Alhamdulillah, tanah Jalan Semarak Felda telah dikembalikan tanpa sebarang kos. Walaupun begitu, saya tegaskan bahawa audit forensik dan siasatan polis akan tetap diteruskan."

Kenyataan itu selaras dengan pandangan diberi Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad semalam.

Terdahulu Malaysiakini pada 15 Jan melaporkan Felda memperoleh kembali pemilikan tanah bernilai sangat tinggi itu selepas diserahkan syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd (Synergy Promenade) melalui perjanjian yang ditandatangani sebelumnya.

 

 

Shahrir mengesahkan pertukaran hak milik tanah bernilai RM200 juta itu tidak melibatkan sebarang kos.

“Semua tanah terlibat yang dipindah milik tanpa kelulusan dan pengetahuan kita telah dikembalikan semula ke Felda berserta dengan dokumen yang diperlukan untuk melaksanakan pindah milik.

“Dari 16 geran terlibat, satu (geran) dipegang Pesuruhjaya Tanah Wilayah Persekutuan, pejabat tanah wilayah. Lain-lain (geran) masih dengan kita. Kita dah dapat dan pindah milik.

“Ikut kenyataan saya edar tidak ada sebarang kos terlibat dalam pindah milik,” katanya semasa mengumumkan perkara itu melalui sidang media di Kuala Lumpur.

Kertas siasatan ke AG

Pada sidang media sama Shahrir juga menjelaskan perdana menteri tidak terlibat dalam pertukaran hak milik tanah Felda kepada Synergy Promenade.

Katanya, Pejabat Perdana Menteri (PMO) sendiri tidak mengetahui mengenai isu pertukaran tersebut sehingga meminta siasatan audit mengenainya dilakukan.

“Kalau Felda tak tahu macam mana PMO nak tahu, tak ada siapa yang tahu, Felda pun tak tahu, lembaga (pengarah) pun tak tahu, lepas di pindah milik tak dimaklumkan pada Felda Investment Corporation (FIC)," katanya.

Beberapa individu sudah dipanggil memberi keterangan kepada pihak berkuasa, termasuk bekas naib presiden Umno Tan Sri Isa Samad.

Untuk rekod Isa adalah pengerusi Felda sebelum kerajaan menggantikan beliau dengan Shahrir.

Isa menghabiskan masa beberapa jam memberi keterangan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di Bukit Aman pada 5 Jan lalu.

Pada 12 Jan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata kertas siasatan kes pemindahan hak milik tanah Felda itu dijangka dapat diserahkan kepada Peguam Negara minggu ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lain mengenai kertas siasatan berkenaan.

[Baca berita asal]