Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kajian: Perjuangan sukar bagi BERSATU, AMANAH
Diterbitkan:  Jan 16, 2018 12:54 PM
Dikemaskini: 8:27 AM

Firma penyelidikan media sosial Politweet.Org menggambarkan keadaan sukar bagi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Berdasarkan penemuannya, Politweet berkata kedua-dua parti bertanding di kerusi yang sukar dan akan memenangi sedikit kerusi walaupun tanpa PAS memecahbelahkan undi.

BERSATU, yang disebut-sebut sebagai alternatif kepada Umno, akan bertanding di 52 kerusi di Semenanjung sementara AMANAH yang merupakan serpihan PAS, akan meletakkan calondi 27 kerusi.

Dengan mengandaikan bahawa sentimen pengundi kekal seperti yang berlaku pada PRU13, Politweet berkata simulasi yang dijalankan meramalkan BERSATU hanya akan menang antara tiga hingga enam kerusi di Parlimen pada PRU14, sementara AMANAH akan memenangi antara 14 hingga 18 kerusi.

Walaupun setiap pengundi mempunyai lima peratusan kenaikan dalam kebarangkalian mengundi pembangkang, Politweet berkata, BERSATU akan memenangi hanya 17 kerusi manakala AMANAH akan memenangi antara 20 hingga 22 kerusi.

Firma itu memerhatikan bahawa 62 peratus pengundi di kawasan pilihan raya yang ditandingi BERSATU cenderung untuk mengundi BN, manakala 50 peratus lagi cenderung mengundi BN di kerusi ditandingi AMANAH.

Simulasi ini mengandaikan pembangkang bersatu dan tidak mengambil kira fakta pertembungan tiga penjuru antara HARAPAN, BN dan PAS.

"Dengan PAS memecahkan undi, tidak banyak kerusi yang akan dimenangi oleh BERSATU dan AMANAH," katanya.

Ia juga menyaksikan hampir semua kerusi yang ditandingi AMANAH adalah kerusi ditandingi PAS pada PRU13, yang bermakna pengundi pembangkang di kawasan pilihan raya itu kemungkinan akan berpecah antara menyokong AMANAH atau PAS.

Satu lagi adalah faktor persempadanan semula.

Sekiranya proses persempadanan semula selesai pada PRU14, Politweet meramalkan BN akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk memenangi lebih 10 kerusi daripada HARAPAN.

Daripada jumlah ini, separuh ditandingi oleh AMANAH, iaitu Kuala Nerus, Bukit Gantang, Lumut, Hulu Langat, dan Sepang. Baki separuh lagi ditandingi oleh PKR.

Secara keseluruhan, Politweet meramalkan PKR akan memenangi 28 daripada 51 kerusi yang akan ditandingi, manakala DAP akan memenangi 31 kerusi daripada 35 yang ditandingi.

Politweet berkata PKR mungkin bertanding dalam kawasan campuran yang menyaksikan sokongan terbahagi kepada BN dan pembangkang, sedangkan DAP akan bertanding di kawasan pilihan raya di mana sebahagian besar pengundi menyokong pembangkang.

Simulasi ini mengandaikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan HARAPAN, dan pilihan raya dijalankan sebelum persempadanan semula dimuktamadkan.

Ia juga mengandaikan bahawa jumlah keluar mengundi pengundi adalah sama DENGAN PRU13 iaitu sebanyak 84.84 peratus, dan sentimen pengundi tidak berubah sejak pilihan raya itu.

Politweet berkata ia telah menjalankan simulasinya terhadap perilaku setiap pengundi berdasarkan demografi mereka dan keputusan PRU12 dan PRU13.

Ia menjalankan 300 simulasi dalam setiap tiga senario untuk menentukan kemungkinan BN dan pembangkang memenangi setiap kawasan pilihan raya.

Ketiga-tiga senario ini mengandaikan sama ada: Sentimen pengundi kekal tidak berubah, ayunan (swing) dua peratusan kepada HARAPAN, dan ayunan lima angka peratusan.

 

 

Lihat Komen
ADS