Seorang lagi anggota parlimen tampil menyelar gangguan seksual ahli politik terhadap wartawan perempuan, seperti didedahkan media semalam.

Anggota parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud berkata gangguan itu tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi apabila melibatkan wakil rakyat parti pemerintah.

“Langkah yang lebih tegas dan keras perlu dikenakan bagi menepati hasrat kerajaan yang menjadikan 2018 sebagai tahun memperkasa wanita,” katanya yang juga ketua wanita Parti Amanah Negara (AMANAH).

“Tiada gunanya kita mendabik dada kerana menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur dan dasar untuk golongan wanita jika perkara serius seperti gangguan seksual seperti ini tidak ditangani segera.”

Asian Correspondent melaporkan pengalaman beberapa wartawan Malaysia berdepan gangguan seksual daripada ahli politik lelaki.

Media itu antaranya melaporkan seorang wartawan baru di laman berita, Ally (bukan nama sebenar) mendakwa seorang ahli politik parti pemerintah menghantar mesej kepadanya pada tahun 2014 tentang hasrat "menunggangnya di atas katil."

Ally mendedahkan pernah dipeluk dan diramas tubuhnya selain dimasukkan lidah ke dalam mulut dalam parti eksklusif melibatkan ahli politik kedua-dua belah pihak.

Wartawan sebuah portal berita Diyana Ibrahim pula mendedahkan menerima mesej seorang ahli parlimen pada lewat malam atau awal pagi yang bertanya sama ada dia mempunyai teman lelaki.

Beliau juga mengajaknya berbual tentang hal peribadi serta makan malam bersama.

Laporan itu turut memuatkan pendedahan wartawan wanita daripada negara jiran Indonesia dan Filipina.

'Buat laporan'

Dalam kenyataan hari ini, Mariah berkata lebih memalukan apabila laporan itu dikeluarkan oleh media antarabangsa, yang akan memburukkan lagi imej negara di mata dunia.

“Maka tiada pilihan yang boleh diambil melainkan ahli parlimen itu segera didakwa atas jenayah tersebut,” katanya.

Mariah juga menyelar majikan yang terus meminta mangsa bersubahat demi mendapatkan berita eksklusif.

“Saya menggesa semua pengamal media yang pernah mengalami gangguan seksual supaya segera membuat laporan bagi mencegah perkara yang sama tidak berterusan.

“Berdiam diri bukan satu pilihan lagi kerana sikap begini akan menyebabkan penindas akan menjadi lebih berani melakukan perbuatan keji itu terhadap mangsa yang lain,” katanya.