Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jakim akan bertemu Sajat petang ini
Diterbitkan:  Jan 16, 2018 3:24 PM
Dikemaskini: 7:58 AM

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan pertemuan dengan ahli perniagaan serta usahawan kosmetik terkenal, Nur Sajat petang ini.

Menurut Penolong Pengarah Kanan Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Dr Izwan Yusof, pihaknya akan mengadakan pertemuan itu di Wisma Nur Sajat di Shah Alam.

"Insya Allah saya akan berjumpa dengan Sajat pukul 3 petang ini di Wisma Nur Sajat.

"Saya telah berhubung dengan beliau dan inilah waktu yang diberikan kepada kami untuk perjumpaan ini," kata Izwan yang dipetik dari laporan mStar.

Selain itu, menurut Izwan, pertemuan bersama Sajat akan turut disertai beberapa pegawai di bahagian sama dari Jakim.

"Diharapkan pertemuan bersama Sajat berjalan lancar," katanya lagi.

Semalam, menulis di Facebooknya, Izwan menjemput Sajat ke Jakim bagi berbincang tentang situasi yang melanda usahawan itu ketika ini.

Menerusi 'Mesej Terbuka' di Facebook Izwan berhajat bertemu dengan usahawan itu ekoran pelbagai isu yang menimbulkan persoalan di kalangan masyarakat berkaitan Sajat.

Mesej Izwan terhadap Sajat itu juga mendapat persetujuan daripada Ketua Pengarah Jakim Tan Sri Othman Mustapha yang meminta agar pertemuan itu diadakan.

"Setuju dan aturkan pertemuan dengan Nur Sajat. Kita bantu bukan menghukum," tulis Othman di Facebooknya.

Sebelum itu, tular di laman sosial mengenai tindakan individu yang bernama Sir Azri atau Muhammad Azri yang membuat panggilan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung Sajat.

Dalam rakaman video yang dimuatnaik di Facebooknya, Azri meminta Jakim mengambil tindakan terhadap Sajat kerana mendakwa kelakuannya akan memberi pengaruh buruk kepada masyarakat.

Lihat Komen
ADS