Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memohon untuk mengetepikan prosiding menghina mahkamah oleh National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan pengerusinya, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail.

Peguam Rafizi, Razlan Hadri Zulkifli, berkata Salleh dan NFC telah memperoleh kebenaran ex-parte untuk memulakan prosiding komital di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Mei lepas.

"Bagaimanapun, kertas diserahkan pada kami lewat bulan Julai. Kami memohon untuk mengetepikan prosiding komital itu pada bulan Ogos, "katanya.

Prosiding komital itu berkaitan dua artikel yang disiar di blog Rafizi dan empat artikel di Keadilandaily.com, yang dikatakan berkaitan dengan NFC.

Razlan, berkata hakim telah menetapkan pendengaran pada 23 Februari.

Razlan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas beliau, Salleh dan peguam kanan NFC Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bertemu Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed dalam kamar hari ini.

NFC dan Salleh mahu artikel berkenaan ditarik balik kerana Mahkamah Tinggi telah memutuskan injunksi mengenai artikel berkaitan dengan NFC.

Bagaimanapun, Razlan berhujah bahawa artikel yang dipersoalkan tidak meliputi injunksi itu.

Rafizi dan Malaysiakini sebelum ini didakwa kerana memfitnah projek NFC.

Hakim Azizul Azmi Adnan mendapati anggota Parlimen PKR itu bersalah dan memerintahkannya membayar RM150,000 kepada Salleh dan RM50,000 kepada NFC, bersama-sama dengan kos RM100,000 .

Bagaimanapun, Azizul memutuskan Malaysiakini tidak memfitnah NFC dan Salleh, dan memerintahkan kedua-dua mereka membayar kos RM50,000 kepada portal berita itu.

Kes ini sedang menunggu rayuan daripada Rafizi dan NFC.

September lalu, dilaporkan satu notis muflis dikeluarkan kepada Rafizi kerana tidak membayar kos berkenaan.

Bagaimanapun, beliau kemudian dapat menyediakan amaun yang ditetapkan.

[Baca berita penuh]