Zahid: Tak elok kata hanya Melayu perjuangkan negara ini
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan kenyataan kontroversial Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Ismail Mina Ahmad bahawa hanya orang Melayu yang bergadai nyawa untuk Tanah Melayu.
Merujuk tulisan, pakar sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim, Zahid berkata sejarah mencatatkan sumbangan pelbagai bangsa dalam memerangi Jepun semasa Perang Dunia II dan komunis semasa Darurat.
“Di dalam hal ini, untuk hanya (kata) satu bangsa sahaja memperjuangkan negara ini mungkin tak elok kita katakan.
“Masyarakat negara kita adalah merupakan masyarakat majmuk dan apabila kita menerima musuh daripada luar yang cuba merosakkan negara kita, kesatupaduan bangsa Malaysia, Persekutuan Tanah Melayu, atau Malaya ketika itu, adalah di dalam acuan yang cukup.
“Dan dalam hal ini, tidak perlulah kita menimbulkan polemik kerana semua pihak telah memberi sumbangan yang baik untuk negara kita,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan dua buah buku terbitan Institut Integriti Malaysia, hari ini.
Ismail Mina pada ucaptama Konvensyen Kebangkitan Ummah di Kuala Lumpur, 13 Januari lalu turut berkata, bahawa bangsa Melayu sebelum ini telah dibunuh oleh 'bintang tiga' dan meminta agar bangsa Melayu tidak lupa akan sejarah berkenaan.
Justeru, beliau mempersoalkan tindakan pihak bukan Melayu yang didakwa menuntut jawatan perdana menteri di negara ini.

