HARAPAN Kelantan sasar pengundi Cina
Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan dilihat mula mengambil langkah untuk mencari pengaruh di kawasan kubu kuat PAS khususnya bagi parlimen Kota Bharu.
Pelbagai program sedang dirancang di kawasan itu khususnya usaha memikat hati pengundi bukan muslim yang dilihat mampu memberi ancaman kepada PAS.
Jalan Kebun Sultan tidak pernah sunyi sebagai pusat perniagaan di Bandaraya Kota Bharu dan PAS melalui kerajaan negeri kali terakhir mengadakan program besar di situ pada Oktober lalu.
Kini, HARAPAN pula dilihat ghairah untuk menjelajah dari pintu ke pintu rumah dan kedai masyarakat Cina Kota Bharu.
Timbalan Pengerusi HARAPAN Kelantan, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah (gambar) berkata, beberapa program sudah diatur pihaknya untuk masyarakat Kota Bharu.

Bermula Khamis ini katanya, HARAPAN Kelantan mengadakan program 'Dialog Rakyat: Bina Semula Negara' yang bakal berlangsung di Medan Selera Jalan Kebun Sultan.
"Kita akan menampilkan Pengerusi HARAPAN Kelantan Datuk Husam Musa untuk menyampaikan ucaptama.
"Ia disusuli dialog akan menampilkan saya dan bekas ahli akademik, Profesor Dr Chia Oai Peng," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Husam atau Takiyuddin?
Pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan datang kerusi parlimen Kota Bharu menjadi tumpuan selepas HARAPAN Kelantan menamakan Husam sebagai calon mereka.
PAS pula berkemungkinan besar meletakkan penyandang kerusi tersebut, Datuk Takiyuddin Hassan dan bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru berdepan seorang lagi calon mewakili BN.
Pada pilihan raya lalu, Takiyuddin yang juga setiausaha agung PAS memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 15,970 undi.
Parlimen Kota Bharu juga dilihat sebagai kerusi yang mempunyai bilangan pengundi Cina paling tinggi di Kelantan dengan anggaran boleh mencecah 16 peratus.
Ia dikatakan kerusi paling selamat untuk HARAPAN dengan sasaran meraih sebanyak mungkin pengundi Cina ketika pecahan undi di kalangan pengundi Melayu sukar diramal.
Sementara itu, Wan Abd Rahim berkata, pihaknya juga mengatur program menjelang sambutan Tahun Baru Cina 2018.
"Antaranya kita akan adakan perarakan di sekitar Jalan Kebun Sultan untuk mengagihkan buah limau kepada semua masyarakat Cina di smaping menyebarkan risalah manifesto HARAPAN.
"Selain itu kita akan mengunjungi semua kedai-kedai di Kota Bharu untuk mengucapkan selamat Tahun Baru Cina dan mengadakan sambutan Chap Goh Mei pada 1 Mac," katanya.

