Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas pekerja kilang perlukan RM10,000 biayai kos pembedahan mata
Diterbitkan:  Jan 17, 2018 7:11 AM
Dikemaskini: 11:23 PM

Seorang bekas penjaga stor di sebuah kilang pakaian di Melaka yang mengalami 'Stevens-Johnson Syndrome' atau penyakit kulit disebabkan oleh alergi atau infeksi memerlukan sebanyak RM10,000 bagi menampung kos menjalani pembedahan mata.

Hamdan Hashim, 31, berkata beliau buta pada mata kanannya dan memohon sumbangan orang ramai bagi menjalankan pembedahan untuk merawat mata kirinya yang semakin kabur akibat penyakit itu.

Beliau terpaksa berhenti kerja sekitar awal tahun lepas akibat penyakit yang dialaminya itu, dan kini hanya mengharapkan pendapatan isterinya Nurr Hidayah Hassan, 30, yang menjalankan perniagaan dalam talian untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Apabila tak bekerja ni dah tak boleh nak bagi duit belanja dekat mak sebaliknya mak pula yang berikan saya duit, saya rasa berdosa, jadi setiap malam saya cuba menangis namun tak mampu (kerana komplikasi matanya)," katanya di sidang akhbar di Pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional Melaka (Pembela BN) di Melaka semalam.

Beliau berkata meskipun mata kanannya kini tidak lagi berfungsi namun tetap mengharapkan ada sinar untuknya terus melihat agar dapat kembali menggalas

Hamdan dikesan mengalami masalah berkenaan ketika mendapatkan rawatan mata di sebuah klinik swasta pada Januari tahun lepas akibat terkena habuk di tempat kerja lamanya sebelum dirujuk ke sebuah hospital tahun lepas setelah keadaannya semakin teruk.

Beliau berasal dari Muar, Johor berkata seluruh kulit badannya kelihatan seakan-akan terbakar malah turut menghilangkan upaya mata kanannya berikutan alergi dialaminya dan sekarang menumpang di rumah nenek di Kampung Morten dan isteri turut menjaga neneknya menyebabkan bebannya semakin bertambah.

"Oleh itu, saya sering berdoa agar mata kiri dapat diselamatkan dan dapat melihat semula meskipun terbatas bagi mengurangkan beban isteri walaupun doktor mengatakan potensi untuk sembuh 50-50 namun sekurang-kurangnya saya tetap mahu ikhtiar," katanya dalam nada sebak.

Dalam pada itu, Nurr Hidayah menganggap apa yang terjadi adalah dugaan terhebat untuknya setelah empat tahun berkongsi hidup dan sebagai isteri beliau tetap reda dengan apa yang berlaku.

"Keadaan berlaku begitu pantas malah suami terpaksa berkampung selama 43 hari di hospital termasuk sebulan ditempatkan di unit rawatan rapi berikutan keadaannya yang semakin lemah. Sebagai isteri saya cuba membantu sehabis daya biarpun kadang kala rasa sedih apabila mengenangkan suami yang dulunya normal kini segala pergerakannya terpaksa dibantu," katanya dengan linangan air mata.

Sementara itu, Pengarah Pembela BN Melaka Amir Hamzah berkata pihaknya telah melancarkan tabung bagi pembedahan Hamdan dan pihak yang ingin menyalurkan bantuan kewangan boleh menyalurkannya ke akaun bank Maybank: 104068296200 (Hamdan Hashim).

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS