Bekas presiden MCA tak yakin Dr M mampu jana 'tsunami Melayu'
Pakatan Harapan bergantung kepada pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad dan BERSATU untuk menumbangkan Umno di kubu kuat tradisinya dalam pilihan raya umum yang akan datang, dengan harapan beliau akan menghasilkan "tsunami Melayu" yang akan mengubah status quo politik sejak enam dekad lalu.
Bagaimanapun, bekas presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, pesimis bahawa pemimpin yang dia berjuang bersama-sama dalam lima pilihan raya, mampu berbuat demikian.
Menurut Chua, pengaruh kehadirian mantan perdana menteri itu terhad kepada pengundi Melayu di kawasan bandar, tetapi tidak di kawasan luar bandar.
"Tidak ada parti lain yang menjaga orang Melayu sepertimana Umno. Mereka (pengundi Melayu di kawasan pedalaman) takut kepada perubahan," kata bekas presiden MCA itu kepada Malaysiakini.
Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa faktor Mahathir boleh menjadi satu ancaman kepada Umno dan BN di Kedah, yang merupakan negeri kelahiran bekas perdana menteri itu.
Mengulas mengenai HARAPAN menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri, Chua berkata walaupun Mahathir mempunyai banyak pengetahuan dan pengalaman, dia juga membawa beban yang besar.
Katanya, tidak diragui bahawa Mahathir telah banyak menyumbang (kepada negara) selama 22 tahun sebagai perdana menteri, tetapi begitu juga sebaliknya.
"Pada zamannya lah muncul kronisme, terdapat rundingan secara langsung dan terma mengenai lebuh raya yang dirangka yang menguntungkan pemegang konsesi.
"Kemudian ada (krisis) badan kehakiman, banyak orang yang menyalahkan beliau dalam hal ini," tambahnya.
Dengan menamakan Mahathir sebagai calonnya, kata Chua, bebannya itu telah dipindahkan kepada HARAPAN.
Beliau juga mendakwa sesetengah pihak sukar untuk menerima bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP bekerjasama dengan Mahathir.
"Kerjasama ini bukan hanya 'U-turn' oleh Mahathir, tetapi juga Anwar dan kumpulan Reformasi.
"Saya telah melalui lima pilihan raya di bawah Mahathir, di mana DAP akan menyerangnya sebagai korup, menggelarnya rasis dan diktator.
"Sekarang, mereka bekerjasama dengannya seolah-olah dosanya pada masa lalu telah dilupakan," katanya.
Mengenai bagaimana kaum Cina akan mengundi dalam pilihan raya akan datang, Chua berkata sentimen anti-establishment masih kekal kuat dalam masyarakat itu.
Berdasarkan ini, mantan menteri kesihatan itu meramalkan peluang DAP adalah baik, tetapi tidak akan dapat mengulangi prestasinya memenangi 38 kerusi Parlimen dalam pilihan raya 2013.
"Orang Cina telah menerima bahawa tanpa sokongan orang Melayu, anda tidak boleh menukar kerajaan," katanya.
Chua telah mengetuai MCA yang menyaksikan pencapaiannya yang lebih buruk daripada pilihan raya umum 2008.
Kerusi Parlimen MCA merosot daripada 15 kepada tujuh, sementara kerusi negeri merosot daripada 32 kepada sebelas.

