Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Penyerahan semula 16 keping hakmilik tanah Felda yang bernilai RM270 juta oleh Synergy Promenade Sdn Bhd kepada Felda semalam menunjukkan bahawa transaksi pindah milik tanah tersebut sejak awal lagi tidak dilakukan secara sah memandangkan syarikat tersebut tidak mempertahankan pemilikan tanah tersebut.

Amat menghairankan bagaimana Synergy Promenade boleh menyerahkan semula hakmilik tanah tersebut dengan mudah.

Justeru, Felda perlu mendedahkan apakah faedah balasan yang dijanjikan kepada Synergy Promenade memandangkan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad pada 21 Disember lalu mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah Felda yang bermesyuarat pada 15 Disember memutuskan untuk tidak lagi meneruskan projek Kuala Lumpur Vertical City.

Namun, Shahrir semalam menyatakan sebaliknya apabila bersetuju membenarkan syarikat tersebut meneruskan projek pembangunan tersebut.

Persoalan yang timbul adakah benar-benar penyerahan semula hakmilik tanah tersebut dibuat tanpa sebarang balasan sedangkan Shahrir sebelum ini mendakwa Felda tidak menerima bayaran RM270 juta untuk penjualan tanah tersebut.

Ini adalah kerana tidak logik untuk syarikat tersebut menyerahkan semula tanah tersebut tanpa sebarang balasan.

Untuk apa mereka perlu menanggung kerugian sebanyak RM270 juta. Maka, persoalan seterusnya, siapakah sebenarnya yang menerima bayaran RM270 juta untuk pindah milik tanah Felda tersebut?

Oleh demikian, pihak SPRM dan polis digesa meneruskan siasatan berkaitan transaksi pindah milik tanah tersebut pada tahun 2015 kerana Shahrir sendiri mengakui ia suatu transaksi yang meragukan.

Mana-mana individu atau pihak pengurusan Felda yang telah melakukan perbuatan jenayah hendaklah didakwa memandangkan transaksi tersebut dicemari dengan unsur fraud (penipuan) tidak dapat diketepikan.

Penyerahan semula hakmilik tanah tersebut tidak membersihkan nama dan perbuatan jenayah mereka yang terlibat.

Kami juga mempersoalkan kenyataan Shahrir yang mempertahankan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kononnya transaksi pindah milik tanah tersebut di luar pengetahuan beliau sedangkan perdana menteri adalah menteri yang bertangungjawab ke atas Felda dan pelupusan aset Felda yang mana memerlukan kelulusannya.

Seksyen 3(3)(C) dan 3(3)(Ca) Akta Pembangunan Tanah 1956 memerlukan Felda mendapatkan kelulusan menteri yang bertanggungjawab untuk memasuki apa apa perjanjian dengan pemaju, termasuklah projek usaha sama. Sepatutnya, pihak polis dan SPRM meneruskan siasatan yang bebas dan menyeluruh termasuk penglibatan Najib.

Usahlah Shahrir berlagak seperti pihak penguatkuasa undang-undang sedangkan tugas hakikinya adalah memulihkan Felda dan bukannya membersihkan nama Najib.

Telahan kami mengenai cara kes ini ditangani ternyata betul. Sekaligus, ia tidak mengubah persepsi kami dan masyarakat mengenai kepincangan pengurusan Felda yang dikawal selia di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Tindakan Felda meneruskan projek pembangunan Kuala Lumpur Vertical City di atas tanah tersebut kepada Synergy Promenade amat membimbangkan kerana kepentingan Felda begitu berisiko seolah-olah Felda bersedia masuk ke lubang ular kali kedua.

Justeru, kami mendesak Felda mengkaji semula projek Kuala Lumpur Vertical City yang ternyata tidak mendatangkan faedah kepada Felda terutama peneroka.


MAZLAN ALIMAN adalah Presiden, Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) dan
FAIZ FADZIL pula selaku Timbalan Ketua Pemuda, Parti Amanah Negara.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS