Dalam sarkas dan dilema yang sama
ULASAN | Sebagai sosialis, kami diajar untuk sentiasa mengorganisasi massa bukan secara terasing (in isolation) tetapi dari dalam gerakan. Pada tahap sekarang, nampaknya kesedaran rakyat majoriti mengharapkan pilihan raya dapat membawa perubahan.
Justeru itu adalah tugas parti politik sosialis berada di tengah massa rakyat dan cuba menggunakan pilihan raya untuk mempropogandakan politik kiri, progresif dan berjiwa rakyat.
Adalah juga tugas kita untuk mendedahkan kepincangan sistem pilihan raya dan memberikan rakyat peluang untuk melihat bahawa pilihan raya sebenarnya susah untuk membawa perubahan.
Mengikut Vladimir Lenin, kecuali dalam situasi yang rakyat majoriti ingin melancarkan revolusi sahaja, maka kita kena fikir tentang memulaukan pilihan raya dan dalam keadaan lain kita kena berkecimpung dalam pilihan raya umum (PRU) - bukan dengan ilusi untuk dapat menang tetapi mendedahkan kepincangan sistem pilihan raya ini.
“Participation in parliamentary elections and in the struggle on the platform of parliament is obligatory for the party of the revolutionary proletariat…As long as you are unable to disperse the bourgeois parliament and every other type of reactionary institution, you must work inside them, precisely because there you will still find workers who are stupefied by the priests and by the dreariness of rural life; otherwise you risk becoming mere babblers.” - Lenin (bawah)

Mengikut Friedrich Engels pula, melibatkan diri dalam pilihan raya adalah senjata tajam untuk (1) melawan institusi negara dan mendedahkan parti lain kepada massa, (2) membolehkan propaganda parti secara berkesan disampaikan kepada massa, (3) mewujudkan platform untuk berdebat dengan musuh dan menolak agenda mereka dan (4) menyemak populariti parti di kalangan rakyat.
Maka PSM akan bertanding dalam pilihan raya, mendesak rakyat untuk membuat pilihan kepada program parti dan calon parti.
Kami juga mengharapkan sokongan mereka yang berjuang atas landasan tukar sistem bersama kami kerana terbukti dua parti utama dalam perlawanan untuk parlimen tidak akan membawa kepada penukaran sistem.
Namun PSM hanya berdiri di tiga peratus kerusi sahaja dan ini pun dikritik hebat oleh Pakatan Harapan sebagai membantu BN dan makan dedak.
PSM tidak akan memulaukan pilihan raya. Itu jelas.
Secara alternatifnya, saya berpendirian, golongan kiri termasuk golongan anarki dalam negara kita masih lemah dan belum membentuk keadaan yang matang untuk membawa perubahan melalui jalan raya. (Harap ayahanda Rani Kulup tidak buat aduan polis.)
Di Malaysia pada pilihan raya 1969, golongan kiri telah memulaukan pilihan raya. Ada dua versi mengapa mereka memulaukan pilihan raya.

Satu disebabkan penahanan ramai ahli Parti Buruh dan Parti Rakyat bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mereka memang tiada calon untuk berdiri.
Dan kedua mereka melihat keadaan revolusi sudah mantap dan ini berikutan dengan keadaan di
Bahang merah dari Vietnam, Loas
Asia Tenggara terutamanya bahang merah dari Vietnam dan Loas.
Namun pemulauan mereka langsung tidak membawa impak, malah selepas itu, parti-parti lain yang lebih berhaluan sosial demokrat seperti DAP dan Gerakan telah mengambil alih peranan parti-parti kiri dari Front Sosialis sebelum itu. Ramai yang hari ini merasakan taktik memulau pada masa itu adalah taktik yang silap.
Namun idea untuk boikot, hartal, undi rosak dan sebagainya juga adalah strategi golongan kiri terutamanya golongan Maoist dan anarkis dan kita tidak boleh meremehkan atau memperlekehkannya.
Saya berpendirian bahawa seorang yang sangat muak dengan politik BN dan HARAPAN, memang mempunyai hak untuk tidak mengundi atau hak untuk undi rosak.
Dan saya tidak sekali-kali akan cuba menukar fikiran mereka kerana saya berpendirian itu adalah hak individu dan kebebasan demokrasi.
Antara memulau dan undi rosak, saya setuju dengan hujah bahawa undi rosak ada statistik.

Saya merasakan secara peribadi, jika seseorang tidak dapat mempercayai Mahathir Mohamad, bukan tugas saya atau parti PSM untuk meminta mereka untuk percaya pada Mahathir.
Saya juga berpendirian adalah tanggungjawab parti yang hendak memerintah seperti HARAPAN untuk meyakinkan rakyat untuk keluar mengundi atau mempercayai Mahathir.
Tetapi saya lihat cara mereka, HARAPAN mengkritik dan serang mereka yang tidak bersependapat dengan mereka seperti melabel siapa yang kritik HARAPAN sebagai makan dedak Najib Razak menyebabkan kemarahan.
Ia juga semakin membawa kepada undi rosak atau mood “Lantaklah HARAPAN”. HARAPAN sepatutnya lebih merendah diri dan cuba mendampingi golongan-golongan yang selama ini menentang BN.
Bagi kumpulan anarkis pula, mereka memang tidak setuju dengan sistem pilihan raya dan saya juga berpendapat ramai antara mereka tidak mendaftar sebagai pengundi pun.

Maka jika mereka kempen untuk memulau pilihan raya, ia bukanlah sesuatu yang ganjil. Ramai antara mereka percaya kepada penglibatan rakyat secara terus untuk membawa perubahan dan bukan melalui parti politik.
Kami menghormati pendirian mereka dan dapat berjalan seiring dengan mereka untuk membawa perubahan sistem.
Namun saya berpendapat kerja-kerja memperkasakan rakyat, mengorganisasi massa, meradikalkan rakyat adalah sangat lemah.
Oleh itu saya beraliran dengan Che Guevara bahawa revolusi tidak akan jatuh dari langit dan kita kena mewujudkan keadaan yang sesuai.
Selain itu, saya melihat kempen undi rosak ini semakin mendapat sambutan sehingga S Ambiga sendiri kena keluar untuk meminta rakyat untuk jangan putus asa tetapi keluar mengundi.
Undi Coke atau Pepsi?
Maka tidak ada sesiapa yang harus ambil leka kematangan rakyat untuk undi rosak. Ini mungkin satu protes baru atau idea baru.
Buat masa ini, saya ingin mengambil pendirian terbuka kepada kempen ini daripada mengambil pendirian menentang.
Saya rasa isu ini patut didebat secara matang dan mendalam. Kita harus memikirkan adakah lebih baik kita berdepan dengan HARAPAN sebagai kerajaan baru atau BN?

Jika kita hendak menentang sistem ini, maka semua golongan sosialis, anarkis, kiri, antikapitalis, anti feudal, berjiwa rakyat kena bersatu membina satu gerakan baru untuk menentang politik arus perdana yang hanya mahu menukar Kerajaan dan bukan sistem.
Selagi kita tidak membina kuasa baru ini, maka kita diberitahu, kita tidak ada pilihan kecuali mengundi untuk Coke atau Pepsi.
Fahmi Reza membawa satu lukisan yang cukup menarik, “two clowns same circus”.
Kita semua berada dalam sarkas dan dilema yang sama.
S ARUTCHELVAN adalah anggota jawatankuasa pusat PSM. Artikel ini disunting daripada tulisan asal di Facebook. Penulis menegaskan ia pendapat peribadinya dan bukan PSM.
Ia juga tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

