Walaupun berbeza parti, ahli politik wanita dipertemukan dengan titik persetujuan bahawa gangguan seksual ke atas wartawan tidak boleh diterima sama sekali.

Lebih daripada itu parti politik juga, kata mereka, bertanggungjawab mendisiplinkan anggota mereka supaya tidak bersikap demikian.

Mendesak supaya siasatan dijalankan - dan diambil tindakan jika terbukti benar - mereka berpendapat ahli politik lelaki yang mengganggu wartawan wanita tidak layak dijadikan pemimpin.

Pihak terbabit juga kata mereka perlu digugurkan daripada menjadi calon pilihan raya.

Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun berkata tingkah laku seumpama itu tidak melayakkan ahli politik terbabit menjadi wakil rakyat.

"Jika dakwaan itu benar, orang terbabit tidak wajar menjadi pemimpin politik," katanya kepada Malaysiakini.

Namun Chew menegaskan, perlu ada laoran polis dibuat bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan terhadap dakwaan tersebut.

Jaga hubungan baik

"Jika selepas siasatan ia didapati benar, kes itu perlu dibawa ke mahkamah untuk dikenakan tindakan undang-undang," kata bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat itu.

Ketika ini tiada peruntukan khas undang-undang berhubung gangguan seksual namun Seksyen 509 Kanun Keseksaan menyatakan seseorang pesalah yang membuat tindakan mengaibkan kehormatan seseorang melalui perkataan, perbuatan, isyarat atau menunjukkan apa-apa benda yang memalukan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau didenda, atau kedua-duanya sekali.

Chew diminta mengulas laporan Asian Correspondent baru-baru ini yang mendedahkan ada ahli politik lelaki melakukan gangguan seksual ke atas wartawan wanita.

Menurut laporan itu gangguan terbabit melibatkan ahli politik kerajaan dan pembangkang.

Seorang daripada mereka mendakwa menerima mesej teks daripada ahli politik di luar waktu kerja dan bertanya sama ada dia memiliki teman lelaki atau tidak.

Kedua-dua mereka mengaku tidak membuat aduan kerana perlu menjaga hubungan baik dengan ahli politik terbabit atas tujuan kerja.

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar pula berkata partinya bersetuju untuk menangani isu gangguan seksual secara agresif selepas dibincangkan dalam mesyuarat biro politik malam tadi.

"Jika ia melibatkan anggota PKR, ia akan dikenakan tindakan oleh jawatankuasa disiplin parti.

"(Parti politik bertanggungjawab) menyedarkan pemimpin mereka supaya lebih sensitif, tidak bertolak ansur terhadap perlakukan itu dan mendidik pemimpin masa depan berhubung isu berkenaan," katanya.

Elak sebarang spekulasi

Setiausaha Hal Ehwal Antarabangsa DAP Teo Nie Ching juga sependapat dengan pandangan itu.

Kata anggota parlimen Kulai itu parti politik berperanan mendisiplinkan anggota masing-masing supaya tidak terlibat dengan kegiatan gangguan seksual.

"Kalau dakwaan itu betul, tindakan mesti diambil - sama ada secara undang-undang atau dalaman parti.

"Malah mereka boleh dipertimbangkan untuk digugurkan daripada calon pilihan raya," katanya.

Exco Puteri Umno Dira Abu Zahar pula berkata pendedahan mengenai insiden itu adalah dakwaan sangat serius dan siasatan perlu dibuat agar hak kesemua pihak dapat ditegakkan.

"Sebagai salah seorang wanita yang pernah berkecimpung secara langsung atau tidak dalam dunia penyiaran dan kewartawanan, ini adalah situasi yang amat membimbangkan.

"Sebagai wanita yang bergiat di dalam kedua-dua bidang profesional dan juga kreatif, saya memandang serius perkara ini," katanya.

Namun begitu, kata pelakon itu, dia juga percaya bahawa perkara berkenaan perlu dinilai bersasarkan kes demi kes.

"Ini juga adalah untuk mengelakkan timbul sebarang spekulasi yang tidak sepatutnya," katanya yang juga pengerusi Biro Pembangunan Kreatif Puteri Umno.

[Baca berita penuh]