Paling Popular
Terkini

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan tergelincir ketika menafikan kenyataan kontroversi Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Ismail Mina Ahmad bahawa hanya orang Melayu yang bergadai nyawa untuk Tanah Melayu.

“Zahid Hamidi ini kawan saya masa di universiti. Dia junior saya. Tapi tidak apa.

“Dia pun sebab lama tak jumpa dia pun tersalah, tergelincir lidah dan silap,” kata Ismail dalam sidang media di ibu pejabat Muafakat di Kuala Lumpur, hari ini.

Malah, Ismail berkata Zahid sepatutnya merujuk beliau untuk penjelasan lanjut.

“Sepatutnya dia rujuk kita, betul ke saya kata begitu dan itu namanya tabayun, tanya khabar,” katanya.

Zahid semalam dilapor menafikan kenyataan kontroversi UMMAH bahawa hanya orang Melayu yang bergadai nyawa untuk Tanah Melayu.

Merujuk tulisan pakar sejarah Tan Sri Khoo Kay Kim, Zahid berkata sejarah mencatatkan sumbangan pelbagai bangsa dalam memerangi Jepun semasa Perang Dunia II dan komunis semasa darurat.

Justeru, beliau mempersoalkan tindakan pihak bukan Melayu yang didakwa menuntut jawatan perdana menteri di negara ini.

Ahad lalu, ketika berucap di Konvensyen Kebangkitan Ummah, Ismail mengingatkan hadirin tentang pengorbanan bangsa Melayu yang bergadai nyawa untuk Tanah Melayu.

Ismail turut menegaskan, perkara yang beliau katakan pada seminar berkenaan berkaitan pembunuhan orang Melayu oleh Bintang Tiga berdasarkan sejarah.

Bagaimanapun Ismail menafikannya dan berkata kenyataannya Ahad lalu yang menyebut hanya orang Melayu yang menentang Bintang Tiga telah diambil di luar konteks.

Sementara itu dalam perkembangan lain Ismail memaklumkan pihaknya kini dalam kerangka jelajah ke seluruh Malaysia bagi memberi penjelasan tentang perpaduan ummah lanjutan daripada Konvensyen Kebangkitan Ummah di Kuala Lumpur minggu lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS