Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cerita penuh mesra Siti Hasmah mengenai bapa Najib
Diterbitkan:  Jan 17, 2018 5:34 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dalam satu wawancara mengenai sumbangan Tun Abdul Razak Hussein, bercakap dengan penuh mesra dan kasih sayang terhadap bekas perdana menteri itu.

Malah, beliau mengakui dirinya dan suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad menyayangi bekas perdana menteri tersebut meskipun sedang berseteru dengan anak Abdul Razak, Datuk Seri Najib.

"Sebagai seorang rakyat Malaysia, kami (saya dan Dr Mahathir) sayangkan anak watan (Abdul Razak) ini, ia boleh dilihat ketika kembalinya jenazah Tun Abdul Razak di Lapangan Terbang Subang dan kita dapat lihat rakyat berpusus-pusu membanjiri lapangan terbang tersebut.

"Saya tidak mahu apa-apa yang buruk dikaitkan dengan Allahyarham Tun Razak kerana beliau sudah tidak ada lagi (meninggal dunia)... cara beliau menderita berseorangan, tidak memberitahu sesiapa tentang penyakitnya kecuali keluarganya.

"Saya amat bersedih baginya, dan juga Tun Rahah (Mohammed Noah) yang menanggung penderitaan ini. Untuk melihat suaminya pergi (meninggal dunia) seperti itu.

"Dia seorang yang hebat dan Tun Rahah adalah wanita yang sangat berani," kata Siti Hasmah dalam temuramah yang disiarkan secara langsung di laman Facebook Dr Mahathir.

Abdul Razak menghembuskan nafas terakhirnya pada tahun 1976 semasa tewas dalam pertarungan melawan kanser. Beliau menjadi perdana menteri negara ini sejak tahun 1970.

Siti Hasmah juga mendedahkan bahawa Dr Mahathir adalah antara beberapa individu awal yang mengetahui tentang penyakit Abdul Razak.

"Suatu hari, selepas semua orang telah meninggalkan bilik mesyuarat, Abdul Razak memberitahu Mahathir jika dia ingin mengetahui keadaan kesihatannya, sila hubungi doktor peribadinya.

"Mahathir, sebagai seorang doktor telah perhatikan mengapa Tun Razak kelihatan tidak sihat," katanya.

Mahathir kemudian mengetahui tentang keadaan lanjut Abdul Razak daripada doktor peribadinya.

Siti Hasmah berkata suaminya tidak akan menjadi perdana menteri keempat jika tidak Abdul Razak tidak mempersiapkannya terlebih dulu.

"Tun Razak telah memberitahu (penggantinya) Tun Hussein (Onn) untuk menghubungi Mahathir jika ada masalah, Abdul Razak meletakkan kepercayaannya kepada Mahathir," katanya.

Siti Hasmah bercakap tentang bagaimana Abdul Razak, sebagai perdana menteri, telah memperkenalkan dasar-dasar yang jelas untuk membantu penduduk luar bandar dengan "buku merah".

Siti Hasmah berkata, beliau sebagai pegawai perubatan negeri di Kedah, telah melaksanakan peranannya dalam melaksanakan dasar-dasar ini.

Beliau juga mengesahkan kenyataan terdahulu Mahathir bahawa dirinya membantu Najib menjadi perdana menteri keenam kerana berasa terhutang budi kepada Abdul Razak.

Mahathir, yang berkhidmat sebagai perdana menteri selama 22 tahun bersara pada tahun 2016 tetapi kembali aktif dalam politik serta berjanji untuk membongkar segala penyelewengan dan gejala rasuah dalam pentadbirannya itu.

Najib walau bagaimanapun menafikan dirinya melakukan sebarang salah laku atau menggunakan wang awam untuk keuntungan peribadi.

Mahathir kini mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau telah dicalonkan sebagai calon perdana menteri parti pembangkang sekiranya mereka berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum ke-14 nanti.

Lihat Komen
ADS