Paling Popular
Terkini

Seorang lelaki mati dipercayai ditikam anak remajanya yang dikatakan mendapat tahu bapa kandungnya mempunyai wanita simpanan dalam kejadian di sebuah rumah teres dua tingkat di Skudai, kira-kira 15km dari Johor Bahru, hari ini.

Mangsa, seorang penganggur berusia 45 tahun, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kecederaan akibat tikaman di dada kiri di ruang tamu kediamannya pada kira-kira pukul 11 pagi.

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP Noor Hashim Mohamad berkata polis menahan anak lelaki mangsa berusia 17 tahun, isteri mangsa berusia 40 tahun dan rakan anak mereka di sekitar taman perumahan itu.

Beliau berkata polis sedang memburu seorang lagi rakan anak lelaki mangsa bagi membantu siasatan.

“Motif kejadian dipercayai akibat isteri yang cemburu kerana mangsa dikatakan mempunyai wanita simpanan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Noor Hashim berkata polis menerima maklumat mengenai kejadian itu daripada orang awam.

Menurutnya, siasatan awal, terdapat titisan darah dari bilik utama hingga tempat mangsa ditemukan.

"Mangsa dipercayai tidur di bilik utama dan terdapat kesan pergelutan di bilik utama di mana rak baju terjatuh dan katil berselerak selain tiada barang yang hilang dan tidak ada kesan pecah rumah,” katanya.

Beliau berkatasiasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru untuk bedah siasat. -Bernama

Lihat Komen
ADS