Terjemahan Penduduk dua kawasan perumahan kini 'berentap' mengenai pembinaan jejambat baru satu pihak mahu jejambat itu dibina manakala satu pihak lagi membantah pembinaannya.

Tetapi pada masa yang sama, ada di kalangan penduduk yang sedang berusaha untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dengan kerjasama Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Jejambat itu akan menyambung Subang Heights di Batu Tiga, Shah Alam, dengan kawasan USJ3.

Persatuan penduduk USJ dan Persatuan Penduduk USJ3 A/B/C/D kecewa dengan syarikat pemaju Sime UEP kerana didakwa tidak memaklumkan kepada pembeli mengenai pembinaan jejambat tersebut ketika mereka membeli rumah mereka di situ.

Mereka juga marah dengan pihak MPSJ kerana tidak berunding dengan penduduk terlebih dahulu sebelum meluluskan pembinaan jejambat itu.

"Kami hanya diberitahu mengenainya Mei lalu ketika mengadakan perjumpaan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (Lee Hwa Beng). Kami telah menghantar surat aduan dan bantahan rasmi kepadanya dan MPSJ," kata Pengerusi Persatuan Penduduk USJ3 A/B/C/D Rusman Zaihan ketika dihubungi.

"Tambahan pula, bila Sime UEP menjual rumah tiga tahun lalu, ia tidak memberitahu kami mengenai pembinaan sebarang jejambat. Jadi ia mesti bertanggungjawab dalam perkara ini," katanya.

Penghuni lebih 4,700 rumah, termasuk penghuni USJ4 dan USJ12, mendakwa akan terjejas secara langsung apabila projek tersebut siap kelak.

"Kami mesti membantah pembinaan jejambat ini, Tiada ada alasan bahawa 'ia mesti diteruskan kerana sudahpun diluluskan". Jika ia dibina tanpa persetujuan majoriti penduduk dan di luar ruang yang dibenarkan, kami boleh menyekatnya," tambah Rusman.

Berkompromi?

Ketika dihubungi hari ini, Lee berkata penduduk Subang Heights yang bakal mendiami 300 banglo di situ bersetuju projek tersebut dilaksanakan dan tidak menyokong bantahan penduduk USJ.

Lee berkata, mereka mendakwa mereka telah diberitahu mengenai projek pembinaan jejambat itu dan ia merupakan antara faktor mengapa mereka membeli rumah di situ, yang masih dalam pembinaan.

"Bagaimanapun, saya membantah projek tersebut bagi pihak penduduk USJ kerana saya adalah wakil rakyat mereka," tambahnya.

Beliau juga menggalakkan semua pihak terbabit dengan projek tersebut, serta penduduk USJ dan Subang Jaya yang berminat, supaya menghadiri satu perjumpaan di bangunan MPSJ pada jam 3 petang Rabu ini.

Sementara itu, Persatuan Penduduk USJ berkata, pihaknya memahami keperluan penduduk Subang Heights bagi mendapatkan laluan keluar yang sempurna dan akan mencadangkan supaya projek itu di kajisemula demi kepentingan semua pihak.

"(Kami) tidak menafikan bahawa penduduk Subang Heights patut mempunyai laluan keluar. Oleh itu, kami akan mencadangkan laluan keluar dari Subang Heights ke Highway Kesas," kata Setiausahanya, Eileen Cheah.

"Dengan ini, penduduk Subang Heights boleh masuk, sama ada ke Subang Jaya atau terus ke KL, Putrajaya, Cyberjaya, KLIA Sunway dan Klang dengan mudah, daripada datang melalui USJ3 dan terperangkap dalam kesesakan lalulintas di sepanjang Pesiaran Tujuan atau Pesiaran Kewajipan," katanya.

Menurutnya, sejak 20 tahun lalu, penduduk USJ dan Subang Jaya ditaburkan janji demi janji bahawa kesesakan lalulintas akan diatasi dengan projek pembinaan jalan baru. Sebaliknya, tambah beliau, pembangunan berterusan perumahan perumahan, telah memburukkan lagi masalah lalulintas di situ.

Pihak persatuan, katanya, sebelum ini telah berjaya menangguhkan projek-projek seperti pembinaan balai polis USJ dan USJ1-Puchong Link, berikutan bantahan penduduk./ Berita asal