Malaysiakini BERITA

Menghadap sultan: Bukan sekarang, kata PAS Selangor

Anne Muhammad

Diterbitkan  |  Dikemaskini

PAS Selangor tidak menolak kemungkinan untuk mengadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkaitan isu semasa di negeri itu termasuk spekulasi peruntukan dana kepada ADUN parti itu akan dibekukan.

“Isu ini sebahagian daripada kemungkinan yang akan kita lakukan tapi kita belum boleh pastikan dan akan tengok dari sudut sejauh mana pembekuan berlaku.

“Jadi kalau beku, mengadap tuanku adalah sebahagian daripada itu. Itu pun jika tuanku berkenan. Kalau tak berkenan tak buat boleh apa kerana ini adalah isu politik,” kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi ketika dihubungi Malaysiakini.

Hari ini, Sinar Harian memetik akhbar China Press yang melaporkan Sallehen sebagai berkata, PAS  tidak menolak kemungkinan menghadap sultan Selangor minggu ini, sekiranya masalah pembekuan peruntukan kawasan kepada wakil rakyat mereka tidak diselesaikan dengan segera.

Awal bulan ini, kerajaan negeri Selangor pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan mahu  membekukan peruntukan kawasan yang disalurkan kepada semua 13 ADUN PAS Selangor dan lima penyelaras DUN.

Mengulas lanjut, Sallehen berkata pihaknya dimaklumkan secara lisan oleh Bendahari Kerajaan Negeri berkaitan pembekuan tersebut, bagaimanapun masih belum dapat dipastikan kerana tidak ada sebarang surat rasmi dikeluarkan.

Malah, katanya, bagi peruntukan bulan Disember, mereka juga tidak mempunyai sebarang masalah untuk membuat tuntutan.

Sallehen berkata, PAS akan menunggu terlebih dahulu dan sekiranya peruntukan mereka dibekukan, mereka akan mengambil langkah seterusnya.

Katanya sehingga kini ada di antara ADUN PAS menggunakan wang peribadi mereka bagi melaksanakan program dan akan membuat tuntutan seperti biasa pada hujung bulan ini.

“Pegawai kewangan negeri memaklumkan secara lisan bahawa peruntukan dibekukan tapi macam mana pun kita tak pegang yang itu kerana surat rasmi tak keluar lagi. Jadi tuntutan tetap macam biasa.

“Sekarang ini ada projek yang libat duit peribadi ADUN dahulukan untuk program. Sepatutnya tak berlaku pembekuan. Kalau berlaku pembekuan jadi masalah pada kita. Ada yang guna duit peribadi. Ini bukan duit ADUN, ini adalah duit rakyat.

“Apa-apa kita tunggu hujung bulan (Januari), sebab duit belum turun. Kalau lepas ini kita lihat ADUN bukan PAS boleh tuntut, ketika itu kita boleh pastikan kita kena beku,” katanya.

Sallehen ketika ditanya lagi bila PAS akan menghadap sultan Selangor berkata “Bukan sekarang (nak menghadap), bergantung hasil perbincangan dengan pemimpin PAS Selangor,” katanya.

Sallehen juga enggan mengulas ketika ditanya adakah ini permainan politik mejelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya tak boleh nak kata, saya tak tahu pasal apa. Sebarang ulasan tunggu sehingga kita boleh benar-benar ada kepastian, peruntukan itu dibekukan. Buat masa ini kita tunggu dulu,” katanya.