mk-logo
Berita
'Proton jangan amal sistem kasta'
Diterbitkan:  Jan 18, 2018 10:50 AM
Dikemaskini: 10:57 AM

Pemimpin MIC mengkritik tawaran diskaun 10 peratus Proton kepada anggota Persekutuan Persatuan-persatuan Hokkien Malaysia.

"Adakah Proton mengamalkan sistem kasta atau kesukuan. Tawaran ini bukan sahaja mendiskriminasikan rakyat Malaysia daripada kaum-kaum lain tetapi juga warga Cina Malaysia dari suku yang lain,” S Vell Paari memberitahu Malaysiakini.

"Tawaran sebegini datangnya ketika kita bercakap untuk menyatukan rakyat Malaysia. Ia tentu bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak," katanya.

Bendahari MIC itu mencadangkan Proton menawarkan diskaun 20 peratus kepada kumpulan berpendatan rendah dan diskaun 10 peratus kepada kumpulan berpendapatan pertengahan.

"Ia suatu langkah yang betul apabila firma China itu melabur dalam syarikat Proton. Tetapi bos baru syarikat ini perlu ingat Proton dibina atas keringat dan kerja keras rakyat Malaysia," katanya.

Vell Paari juga menegaskan tidak boleh bertolak ansur dengan diskriminasi.

"Bayangkan, jika saya mengimport barangan tertentu dari Tamil Nadu, India dan mengiklankan kepada orang Tamil di Malaysia untuk mendapatkan diskaun sementara orang lain perlu membayar harga penuh.

"Hal yang sama, bayangkan orang Punjabi dapat diskaun untuk chapati dan orang Melayu untuk nasi lemak," katanya lagi.

Vell Paari berkata bos baru proton dari tanah besar China perlu faham budaya Malaysia sebelum membuat tawaran tersebut.

Menurut laporan Nanyang Siang Pau, ketua pegawai eksekutif (CEO) Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB) Li Chunrong (gambar, bawah) mengumumkan diskaun itu ketika majlis makan malam bersama ahli perniagaan Hokkien minggu lalu.

"Semua warga Malaysia yang berasal dari Fujian yang membeli kereta Proton akan mendapat harga diskaun terpilih kami," katanya dipetik berkata demikian.

Surat-menyurat naib presiden jualan dan pemasaran PONSB, Abdul Rashid Musa dengan persatuan itu menunjukkan urus niaga tersebut bersifat 'kerjasama dua pihak'.

Berdasarkan surat-menyurat yang dilihat Malaysiakini, tawaran itu sah dari 12 Januari ke 31 Mac tahun ini.

Proton ditubuhkan Dr Mahathir Mohamad pada tahun ketiga pentadbiran beliau sebagai perdana menteri pada 1983 bagi memacu industri kereta Malaysia.

Walaupun pada awalnya berjaya, beberapa keputusan perniagaan yang salah mendorong kerajaan melaksanakan langkah-langkah penyelamatan ekonomi ke atas syarikat itu.

Separuh daripada saham kerajaan dalam pemilikan syarikat itu dijual kepada syarikat kereta China, Geely Holdings.


 

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini