Inisiatif Kad Korporat MyDebit akan dilaksanakan tidak lama lagi untuk mengurangkan jumlah penggunaan cek dan wang tunai sejajar dengan langkah migrasi kepada pembayaran secara elektronik (e-pembayaran).

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata inisiatif itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Payment Networks Malaysia Sdn Bhd atau PayNet dan insitusi kewangan tempatan.

"Kad ini membolehkan institusi korporat atau usahawan membuat pembayaran kepada agensi kerajaan sama ada di kaunter agensi kerajaan berkenaan atau di cawangan bank terpilih tanpa menggunakan cek atau wang tunai," katanya pada pelancaran Karnival Kewangan Kedah 2018 selama tiga hari di Pusat Konvensyen dan Hotel TH di Alor Setar hari ini.

 

Beliau berkata sejak pelaksanaan Pelan Sektor Kewangan 2011-2020, penggunaan cek telah menurun sebanyak 42 peratus daripada 205 juta cek kepada 120 juta cek pada 2017.

"Bagaimanapun, penggunaan cek oleh golongan usahawan dalam urusan pembayaran kepada agensi-agensi kerajaan masih tinggi, iaitu sebanyak 19 juta cek pada 2016," katanya.

Muhammad turut memuji kerajaan negeri Kedah atas pelaksanaan inisiatif e-pembayaran di sekolah-sekolah semasa program Digital Langkawi 2017.

Katanya inisiatif itu merupakan langkah yang positif untuk memastikan aspirasi “Cashless Society” dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50) tercapai.

Sementara itu, Muhammad dalam ucapannya turut menekankan mengenai kepentingan pengurusan wang secara berhemat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

"Dalam hal ini, BNM berserta agensi kerajaan dan institusi kewangan telah merencana untuk mendekati rakyat dalam program rangkuman kewangan.

“Sebanyak 48 program rangkuman kewangan telah dilaksanakan di kawasan pedalaman negeri Kedah seperti Nami, Kupang, Jeniang dan Lubuk Merbau sejak 2012," katanya.

Di peringkat nasional, Muhammad berkata pelbagai pendekatan baharu telah dan bakal dirancang oleh pihaknya seperti melalui pengenalan platform mengakses laporan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) secara dalam talian (eCCRIS).

Katanya eCCRIS membolehkan pengguna kewangan memantau maklumat pinjaman tanpa mengira waktu dan tempat melalui akses internet selain meningkatkan tahap kecekapan serta memudahkan dan memendekkan proses penilaian pinjaman orang ramai daripada 11 institusi kewangan di Malaysia.

Karnival Kewangan Kedah yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi serta Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT), Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail hari ini merupakan siri keempat program itu yang dianjurkan oleh BNM dan industri kewangan.

Karnival pertama telah diadakan pada Januari 2017, di Kuala Lumpur.

- Bernama