Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Menteri: Permainan digital akan dipromosi di sekolah

Industri permainan digital, yang dilihat mempunyai potensi besar sebagai pekerjaan lumayan pada masa depan, bakal dipromosikan dengan bermula di peringkat sekolah, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang yang boleh direbut di dalam industri itu.

“Selama ini, permainan digital dilihat sebagai bentuk hiburan dan permainan semata-mata, namun ia sebenarnya boleh menjana ekonomi negara dan memberi peluang pekerjaan yang cukup besar pada masa depan.

“MDEC akan menyelaraskan untuk memberi penerangan di sekolah-sekolah tentang kerjaya dalam bidang ini terutamanya sebagai pembangun dan pencipta permainan digital…ini adalah peluang besar untuk Malaysia melibatkan diri,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan rasmi ke Level Up Inc, sebuah inkubator permainan elit bagi menyokong industri permainan digital di Malaysia.

Salleh berkata pasaran industri permainan digital amat besar di peringkat dunia yang boleh direbut oleh anak-anak muda tempatan.

“Anak muda di negara ini mempunyai kebolehan besar dalam bidang permainan digital yang boleh dibanggakan, malah ada yang telah berjaya di peringkat antarabangsa dengan mencipta permainan digital terkenal.

“Mereka sangat kreatif dan punya kualiti kerja setaraf dengan mereka yang terlibat dalam permainan digital di negara lain…maka, kita akan terus bantu memberi sokongan agar industri ini akan terus berkembang lebih pesat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan membantu mengenal pasti platform sesuai untuk memasarkan hasil-hasil ciptaan pembangun permainan digital tempatan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Datuk Yasmi Mahmood berkata perbadanan itu berjaya mewujudkan sebanyak 54 syarikat permainan digital tempatan yang dipelopori golongan belia, sejak tiga tahun lepas.

“Dalam tempoh itu, mereka sudah berjaya menjana pendapatan lebih dari RM500 juta…kita harap kerajaan akan terus memberikan bantuan supaya mereka dapat menggunakan bakat untuk dikomersilkan dan mewujudkan peluang pekerjaan.

“Kita kena tengok bidang permainan digital ini sebagai kerjaya masa depan, kita tidak boleh fokus hanya kepada pekerjaan tradisional semata-mata kerana pekerjaan masa depan akan memberi pulangan yang cukup lumayan buat anak muda dan negara,” katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS