Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Amaran Mahdzir pada guru hanya 'nasihat seorang ayah'
Diterbitkan:  Jan 20, 2018 12:08 PM
Dikemaskini: 4:26 AM

Kenyataan Datuk Seri Mahdzir Khalid agar guru tidak terlibat dalam politik pembangkang hanyalah nasihat "seorang ayah", kata pejabat media dan komunikasi Menteri Pendidikan itu.

Pejabat media itu berkata lagi, ia bukanlah dengan nada seperti yang dilaporkan dan ditularkan semalam.

"Beliau hanya menasihati agar semua orang khususnya penjawat awam menggunakan 'wisdom' (kebijaksanaan) dalam membuat keputusan sewaktu mengeluarkan kenyataan terhadap kerajaan kerana anda berkhidmat untuk kerajaan demi rakyat.

"Apa yang dinyatakan Mahdzir selaku Menteri Pendidikan hanyalah seperti nasihat daripada seorang ayah kepada anak-anaknya," katanya di Twitter semalam.

Menurut laporan akhbar Kwong Wah Jit Poh semalam, Mahdzir dipetik berkata guru dan pegawai kementerian itu yang terlibat dalam parti politik pembangkang, termasuk yang mempunyai kedudukan, perlu meletakkan jawatan.

“Mereka patut letak jawatan dan gunakan kapasiti parti untuk bercakap atau bertanding dalam pilihan raya umum akan datang jika mereka mahu melawan kerajaan,” katanya seperti dipetik.

Laporan Bernama pula bernada lebih lembut, apabila memetik Mahdzir berkata agar guru jangan melampau dalam berpolitik sehingga melanggar peraturan selaku penjawat awam.

"Walaupun ada dalam kalangan pendidik yang menyertai parti politik pembangkang, mereka perlu 'fine tune' dan meletakkan 'buffer zone' antara kerjaya dan ideologi politik agar tidak terlalu menyerlahkan watak pembenci dan antikerajaan,” katanya seperti dipetik laporan bertarikh 18 Januari itu.

Dalam pada itu, pejabat media Mahdzir berkata yang sebarang kenyataan yang dibuat guru berisiko mengganggu kedudukan mereka dalam sektor awam.

"(Justeru) Mahdzir hanya menasihatkan agar tidak membuat kenyataan yang memberi kesan negatif kepada diri pada masa hadapan, bukan seperti yang ditularkan," katanya.

Sementara itu, Presiden Patriot Kebangsaan (PATRIOT) Datuk Mohamed Arshad Raji (gambar) berkata Mahdzir tetap tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sebegitu, walau apa pun keadaannya.

Beliau berkata, seorang menteri perlu menerima kritikan secara terbuka, menilainya dan memberikan penjelasan.

"Jika kritikan itu untuk kebaikan negara, maka mereka yang memberikan kritikan hanya menjalankan tugas patriorik mereka.
"Sebaliknya jika seorang penjawat awam itu tahu ada kesalahan yang dilakukan dan hanya berdiam diri, maka mereka juga salah dari sisi undang-undang dan moral," katanya dalam kenyataan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS