Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lepas beli 'chopper', Jokowi ajak konvoi
Diterbitkan:  Jan 20, 2018 10:20 PM
Dikemaskini: 4:23 PM

GLOBAL | Umum maklum Presiden Indonesia Joko Widodo menggemari muzik death metal yang membuatkan beliau dilihat mempunyai citarasa yang unik selain mesra golongan muda.

Terbaru, presiden republik itu dilaporkan mengajak golongan penggemar motosikal membuat kembara motosikal ke Kalimantan atau Papua.

Ajakan itu disuarakan kepada salah seorang penggiat bidang motosikal custom, Herett Prasetyo.

"Kami akan diajak jalan (oleh presiden). Tiga bulan sebelumnya akan dimaklumkan. Mahu ke Kalimantan atau Papua," kata Herett seperti dilapor Tempo.

Herett yang juga merupakan salah seorang pengasas Elders Garage, bengkel yang aktif dalam komuniti motosikal custom di Indonesia berkata, Jokowi sangat memberi sokongan terhadap industri kreatif termasuklah dalam bidang berkenaan.

Herett berkata demikian selepas menyerahkan motosikal yang dipesan Jokowi di Kompleks Istana Kepresidenan, Bogor hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Jokowi membeli sebuah motosikal chopper pada harga Rp140 juta (RM41,000).

Kompas memetik pihak istana sebagai berkata, Jokowi menggunakan wang peribadi untuk membeli chopper itu.

Chopper berwarna emas hasil kreativiti bengkel custom Elders Garage dan Kick Ass Chopper itu diubah suai daripada motosikal Royal Enfield Bullet berkapasiti 350cc dan kini dinamakan sebagai 'Chopper RI1'.

Perkara ini turut disahkan Kementerian Sekretariat Indonesia melalui akaun  Instagram rasmi jabatan berkenaan.

Kiriman gambar akaun itu hari ini memaparkan Jokowi berdiri di hadapan motosikal chopper berkenaan sambil berbual dengan beberapa anak muda.

Rata-rata komen pengguna laman sosial berkenaan memuji presiden itu sebagai 'keren' (cool) dan mengucapkan 'salam dua periode' - slogan yang digunakan penyokong Jokowi dalam berkempen agar beliau diangkat sekali lagi menjawat jawatan presiden.

Jokowi menjadi presiden pada 2014 dan penggal pertama pentadbiran beliau dijangka berakhir pada tahun hadapan.

Lihat Komen
ADS