'Jika tak mampu buat, bantu hebahkan program kerajaan'
Di saat soal pemilikan rumah menjadi antara isu paling kerap diperkatakan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengajak pembangkang turut sama menguar-uarkan skim perumahan kerajaan kepada orang ramai.
Beliau berkata, ia lebih memberi manfaat kepada rakyat daripada menyerang kerajaan sepanjang masa.
"Buatlah kerja yang bermanfaat (dengan) uar-uarkan skim perumahan ini kepada rakyat, sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang ingin memiliki kediaman sendiri.
"Janganlah kerana nama pembangkang, semuanya ini dibangkang. Walaupun pembangkang tak dapat buat, sekurang-kurangnya boleh bawa rakyat kepada mereka yang mampu, iaitu BN," katanya dalam posting di blognya bertajuk 'Perumahan untuk semua', hari ini.
Posting itu menyenaraikan program perumahan kerajaan antaranya Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia bagi golongan berpendapatan rendah.

Bagi program Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia, Najib berkata kerajaan membina rumah bagi mereka yang memiliki tanah dengan kos RM65,000, yang mana RM20,000 disubsidi kerajaan serta pinjaman dengan kadar faedah dua peratus.
Bagi golongan berpendapatan sederhana pula, Najib antara lain memberikan contoh Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP).
Najib berkata lagi, kesemua program tersebut atas keprihatinan kerajaan terhadap keperluan semua lapisan rakyat untuk memiliki rumah.
"Malangnya seperti nasib yang menimpa BR1M, Klinik 1Malaysia dan bantuan kerajaan lain, semuanya dijadikan modal politik murah oleh pembangkang," katanya lagi.
Harga rumah yang tinggi memang diperkatakan sejak sekian lama, malah Bank Negara Malaysia melalui buletin suku tahunannya November lalu berkata jumlah unit kediaman yang tidak terjual kini berada pada tahap tertinggi bagi dekad ini.
Menurut Bank Negara, punca utama kepada masalah itu adalah bilangan projek perumahan baru yang tidak selaras dengan apa yang mampu dibayar isi rumah.

