Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DAP minta jaminan tiada pengundi dimasukkan ke kem Paloh
Diterbitkan:  Jan 22, 2018 8:53 AM
Dikemaskini: 12:59 AM

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali meminta jaminan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein bahawa tidak ada pengundi tentera yang akan dipindahkan ke kem Paloh, Johor.

"Apa jaminan Hisham bahawa isu kewujudan pengundi tentera sepertimana di 'kem belum siap' di Segamat tidak akan berulang di kem Paloh?

"Jika Hisham anak jantan, beliau harus berani tampil dan kemukakan jawapan.

"Saya cabar agar beliau selaku Menteri Pertahanan berikan jaminan bertulis bahawa tidak akan ada tentera yang diperalatkan oleh BN menerusi SPR untuk dipindah masuk sesuka hati ke 'kem belum siap' Paloh," katanya dalam kenyataan media.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pada Rabu lepas menafikan kemasukan senarai nama pengundi tentera atau membuka lokaliti baru di Kem Paloh dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan (DPT) bagi suku keempat tahun 2017.

Bagaimanapun Sheikh Omar berkata masih terdapat kemungkinan senarai nama tersebut 'dituntut' masuk sepertimana yang berlaku ke atas 2,193 nama pemilih yang dimasukkan setelah gagal dimasukkan dalam RDPT suku pertama tahun 2017.

DAP Johor sebelum ini membangkitkan isu seramai 1,051 anggota tentera didaftarkan sebagai pengundi di kem Segamat.

Kementerian Pertahanan mendakwa anggota tentera terbabit menetap di sekitar kem berkenaan yang dijangka siap tidak lama lagi.

Usaha DAP Johor membantah pendaftaran pengundi di kem Segamat itu tidak diterima oleh SPR.

Lihat Komen
ADS