mk-logo
Berita
'Hadi angkuh, khianati kerajaan Selangor'
Diterbitkan:  Jan 22, 2018 1:23 AM
Dikemaskini: 1:55 AM

Kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa parti Islam itu mahu memimpin Selangor selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) disifatkan sebagai angkuh selain mengkhianati kerajaan Selangor.

Setiausaha AMK Selangor Syed Badli Syed Osman berkata, PAS seharusnya mempertahankan pentadbiran sedia ada selaras dengan hasrat Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk mengekalkan keharmonian dan muafakat dalam kerajaan negeri.

"Malangnya hari ini Presiden PAS menyebut tanpa selindung bahawa mereka ingin mengetuai pemerintahan kerajaan negeri Selangor selepas PRU14.

"Kenyataan ini seolah-olah menidakkan muafakat kerjasama antara PAS dan parti-parti komponen lain yang bergabung membentuk kerajaan di negeri Selangor sekian lama.

"Malah kenyataan ini juga ibarat mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan kepada PAS untuk sama-sama memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan media.

Semalam Abdul Hadi pada sidang media di Perhimpunan Fastaqim 2.4 di Shah Alam memberitahu wartawan bahawa PAS merancang untuk membentuk kerajaan di Selangor, tetapi sedang memikirkan berapa kerusi yang akan ditandinginya.

Ketika ditanya siapa yang akan menjadi calon pilihan PAS sebagai menteri besar Selangor, Abdul Hadi berkata ia masih terlalu awal untuk diputuskan sebelum pilihan raya umum.

"Kita tidak membuat sesuatu hukuman andaian. Calon menteri besar ini andaian. Nanti (kalau) calon dia kalah?" katanya.

Menurut Syed Badli PAS seharusnya menyedari bahawa kerajaan negeri Selangor hari ini terbentuk kerana muafakat antara PKR, DAP dan PAS selepas mendapat mandat pada PRU12 yang lalu.

"Kerajaan ini kemudian diperkuat dengan kehadiran rakan sekutu dari AMANAH.

"Ternyata kenyataan angkuh yang dizahirkan di hadapan ratusan penyokong PAS pada himpunan Fastaqim di Shah Alam, bertujuan untuk menghancurkan keharmonian kerajaan yang telah terbina," katanya.

Justeru katanya, sudah sampai masanya PAS berundur secara terhormat daripada kerajaan negeri setelah hasrat itu dizahirkan Abdul Hadi.

"Saya yakin Pakatan Harapan bersedia untuk mempertahankan kerajaan negeri dan seterusnya melonjakkan kejayaan sehingga ke Putrajaya," katanya.

Lagi berita seperti ini :
Lihat Komen
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS