Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar dakwa tiada tindakan walaupun siasatan polis bersihkannya
Diterbitkan:  Jan 22, 2018 2:55 PM
Dikemaskini: 7:05 AM

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa pihak berkuasa tidak meneruskan penemuan hasil siasatan polis berhubung laporan yang difailkannya pada September 2013.

Laporan polis berkenaan berhubung dakwaan bahawa Anwar dan peguam bela beliau, Karpal Singh telah merasuah badan kehakiman.

Mengesahkan perkara itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam saman fitnahnya hari ini, bekas pemimpin pembangkang itu mendakwa bahawa siasatan polis telah membersihkannya daripada dakwaan mempunyai akaun bank di Singapura.

"Mereka (polis) mendapati bahawa akaun bank seperti itu di Singapura tidak wujud walaupun tuduhan dibuat (merasuah badan kehakiman).

"Ini didedahkan kepada saya oleh pegawai penyiasat ketika dia datang untuk menyiasat saya di penjara Sungai Buloh.

"Saya menjangkakan tindakan diambil terhadap fitnah yang dibuat terhadap saya tetapi saya rasa mereka yang di atas tidak (berbuat demikian).

"Inilah keadaan undang-undang di negara ini," katanya semasa sesi pemeriksaan balas oleh peguam Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mazlan Ismail iaitu bekas calon parlimen Permatang Pauh.

Anwar, yang turut menamakan Sistem Televisyen Malaysia Bhd dan Utusan Malaysia sebagai defendan, berkata Mazlan, yang kini ketua pegawai operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), tidak mengambil tindakan walaupun mengetahui beliau (Anwar) tidak mempunyai akaun sedemikian.

Terdahulu ditanya oleh peguamnya, Sangeet Kaur Deo, Anwar berkata Mazlan adalah bekas ketua Pemuda PAS bahagian Permatang Pauh yang kemudiannya menyertai Umno dan bertanding menentangnya pada tahun 2013.

Pada 2 Ogos 2013, Mazlan mengadakan sidang akhbar di mana beliau mendakwa telah menerima 6,000 salinan surat berantai dari seorang kakitangan di firma undang-undang Karpal mengenai perkara itu.

Perkara itu dilaporkan oleh TV3 dan Utusan Malaysia.

Berikutan itu, Anwar dan Karpal membuat laporan polis di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana fitnah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS