Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis tahan 2 lelaki, rampas syabu RM6.3 juta

Polis menahan dua anggota sindiket pengedaran dadah dan merampas syabu seberat 90 kilogram (kg) bernilai RM6.3 juta dalam dua serbuan di Pulau Pinang pada Jumaat dan Sabtu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata hasil risikan dan intipan yang dijalankan sejak sebulan lepas, sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Kota Permai di Bukit Mertajam dekat George Town pada 4 petang Jumaat dan menahan seorang lelaki.

"Hasil pemeriksaan di dalam rumah itu, polis merampas 86 ketulan syabu seberat 90 kg bernilai RM6.3 juta, yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran dan di tempatkan di kediaman itu yang disewa sindiket berkenaan.

"Mereka menjadikan rumah itu sebagai tempat memproses dadah sebelum membungkusnya semula dan mengedar kepada anggota sindiket. Dadah yang dirampas itu adalah untuk dipasarkan ke seluruh negara," katanya pada sidang berita di Georgetown, hari ini.

Beliau berkata selepas diproses, syabu yang dirampas itu boleh digunakan oleh 450,000 penagih di seluruh negara.

Susulan serbuan pertama itu, polis menahan seorang lagi lelaki, yang merupakan anggota rangkaian pengedaran dadah itu, di Pulau Tikus di sini pada 3 pagi Sabtu.

Mohmad berkata ekoran penahanan dua lelaki berusia 31 dan 41 tahun itu, polis merampas wang tunai sebanyak RM3,150 serta dua kereta jenis Honda Accord dan Honda City selain membekukan wang sebanyak RM500,000 dalam beberapa akaun milik mereka.

"Dua lelaki itu dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah sejak tahun lepas. Mereka turut positif dadah dengan seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah," katanya.

Kedua-dua mereka direman enam hari untuk membantu siasatan.

Polis juga sedang mengenal pasti beberapa lagi individu termasuk dalang utama sindiket pengedaran dadah itu, katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS