Paling Popular
Terkini

Tujuh tuntutan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) berkaitan orang Melayu Islam, khususnya berkaitan tanah rizab, semasa konvensyen minggu lalu mendapat sokongan PAS, kata ketua sekretariatnya, Aminuddin Yahya.

Sebelum itu UMMAH hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di ibu pejabat parti terbbait Jalan Raja Laut untuk menyerahkan senarai tujuh tuntutan tersebut.

“Beliau (Hadi) menyambut baik dan akan membuat kenyataan bagi menyokong tuntutan terbabit dalam satu kenyataan dalam tempoh terdekat dan kami rasa terharu dengan sokongan yang diberikan,” kata Aminuddin dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum.

Bagaimanapun, wakil PAS tidak ada bersama dalam sidang media tersebut.

Menurut Aminuddin, PAS merupakan parti pertama memberikan respon yang cepat kepada tuntutan dibawa Ummah.

Selepas ini katanya UMMAH akan mengadakan perjumpaan dengan parti lain yang berteraskan Melayu dan Islam, seperti Umno, Berjasa, PKR, BERSATU dan AMANAH.

Sementara itu Timbalan Ketua Sektretariat UMMAH, Kamaruzaman Mohamad (gambar), pada sidang media sama berharap tuntutan mereka dapat menjadi sebahagian daripada manifesto pilihan raya setiap parti Melayu Islam di negara ini.

“Kami berharap parti-parti bertanding khususnya yang berteraskan Melayu Islam akan memasukkan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Ummah dalam manifesto masing-masing semasa pilihan raya umum ke-14 nanti,” katanya yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Dalam pada itu, Aminuddin menjelaskan, tuntutan berkenaan tidak menyentuh bangsa lain, sebaliknya hanya untuk memperkasakan hak Islam dan Melayu di negara ini.

“Antara yang UMMAH minta ialah semua parti politik berusaha mengembalikan semula tanah rizab Melayu, seterusnya memperkasakan nilai penerapan Islam dalam masyarakat.

“Apa yang kita buat ini tak lebih dari kerangka Perlembagaan. Itu asas tuntutan yang telah kita jelaskan kepada tuan guru,” katanya.

Dalam Konvensyen Kebangkitan UMMAH minggu lalu tujuh "teras kritikal" dibincangkan iaitu undang-undang dan syariah, pendidikan, dakwah, ekonomi, sosial, tanah rezab dan hak Melayu serta belia dan anak muda.

Antara yang dicadangkan ialah penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Negara bagi memastikan perlembagaan tidak digugat oleh mana-mana pihak, menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan Negara untuk menilai sistem pendidikan dan memperkasakan aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Lihat Komen
ADS