Polis sedang memburu lelaki yang mencium dan meraba seorang kanak-kanak perempuan dalam video yang tular di media sosial dua hari lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah kuala Muda Asisten komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku antara jam 11 malam hingga 1 pagi, ketika suspek yang juga kenalan keluarga kanak-kanak itu membawanya ke tapak sebuah 'fun fair' di Kuala Muda, Sungai Petani.

Beliau berkata, ibu mangsa sedar akan perkara itu selepas melihat sendiri video yang tersebar di Facebook dan terus membuat laporan polis.

"Susulan laporan diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda 1.50 pagi semalam, mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk pemeriksaan kesihatan," katanya seperti dipetik.

Saifi turut berkata ibu mangsa mengesahkan suspek datang ke rumahnya untuk meminta kebenaran membawa anaknya keluar untuk membeli makanan di Taman Bandar Baru, Sungai Petani, dan dihantar pulang kira-kira jam 1 pagi.

"Ibu mangsa yang menyedari perbuatan suspek melalui klip video yang tersebar bertanya kepada lelaki itu dan suspek mengaku melakukannya serta memohon maaf," katanya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Dalam video berdurasi 20 saat itu, suspek dilihat meribakan kanak-kanak itu dan berulangkali menciumnya, sambil tangan kanannya berada di dalam baju dan meraba kanak-kanak itu.