Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semua calon Gagasan Sejahtera guna logo bulan
Diterbitkan:  Jan 22, 2018 4:41 PM
Dikemaskini: 9:10 AM

PAS membayangkan parti gabungan dalam Gagasan Sejahtera yang akan bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 akan menggunakan lambang parti itu.

Menurut Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kerjasama yang terjalin dalam Gagasan Sejahtera berbeza dengan apa yang mereka lakukan dalam Pakatan Rakyat.

Kata timbalan presiden PAS itu, dalam Gagasan Sejahtera, parti yang mendominasi - atau menjadi 'payung' - ialah PAS.

"Mereka (parti gabungan) bernaung di bawah PAS, bersedia bekerja bersama PAS, bersedia memenangkan PAS.

"Kalau mereka bertanding pun, mereka akan bertanding atas lambang PAS," katanya seperti disiarkan harakahdaily hari ini.

PAS membentuk Gagasan Sejahtera selepas memutuskan hubungan politik dengan PKR - secara rasmi - pada 11 Mei 2017.

Ekoran perkembangan itu PAS mengorak langkah mempromosikan kempen budaya politik matang dan sejahtera, serta membentuk "blok ketiga".

Berapa kerusi IKATAN ada harapan

Satu daripada parti yang membentuk Gagasan Sejahtera itu ialah Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) pimpinan bekas menteri serta anggota Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

PAS sebelum ini menyatakan akan bertanding di 130 kerusi parlimen.

Kata Tuan Ibrahim PAS mengadakan perbincangan "banyak kali" dengan Abdul Kadir yang juga bekas anggota parlimen Kulim Bandar Baharu selama kira-kira 30 tahun.

Untuk rekod pembangkang tidak pernah memenangi kerusi berkenaan dalam sehinggalah pada PRU ke-12 apabila PKR berjaya menguasainya.

Kata Tuan Ibrahim, Abdul Kadir menyatakankan kesediaannya untuk "disusun" dan "dibawa" mengikut keperluan PAS.

Walaupun begitu kata Tuan Ibrahim PAS mengambil pendekatan berbincang sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kerusi (yang nak ditandingi) PAS ada 130. Kita tanya Ikatan berapa kerusi yang dia rasa ada calon, ada tokoh yang boleh bertanding," katanya.

Pada 20 Jan lalu Malaysiakini turut menyiarkan laporan mengenai kedudukan Abdul Kadir dalam PRU ke-14 ini.

Kata bekas menteri penerangan itu IKATAN belum dapat mengesahkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi parti terbabit.

Abdul Kadir bagaimanapun mengakui beliau sendiri tidak akan bertanding dan menyerahkan kepada pimpinan lain jika ada yang berminat untuk berbuat demikian.

“Mungkin ada (dalam IKATAN yang akan bertanding), tapi setahu saya mereka tak tunjuk minat setakat ini. Kami tak minta (kerusi), tak pernah bincang mengenai kerusi dengan PAS setakat ini," katanya.

Lihat Komen
ADS